Buruh, 4 lelaki Indonesia mengaku curi kabel didenda RM1,500

2 hours ago 2

KOTA BHARU – Lima buruh termasuk empat warga Indonesia masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel bernilai RM20,000 di tapak projek di Pengkalan Chepa dekat sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Anus Mohd. Sabri, 31, bersama empat lelaki Indonesia iaitu Abdul Rohman, Al Fernando Harahap, Damenra Sinaga dan Jakaria yang memiliki pasport sah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri kabel 80 meter (m) bersaiz 4C XLPE/SWA/PVC 240 milimeter (mm) tembaga yang dipotong sepanjang 40 m milik Protech Builders Sdn. Bhd. sehingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian RM20,000.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di tapak projek berdekatan Balai Bomba, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 5.37 pagi pada 9 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam, Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon denda maksimum dikenakan terhadap kesemua tertuduh dan barang kes dipulangkan kepada pemilik asal.

Ahmad Syafiq kemudian memohon hukuman denda yang rendah kerana kes tersebut hanya salah faham dan kabel yang dikatakan hilang sudah dijumpai selain tiada kehilangan barangan atau kerugian dilaporkan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda masing-masing sebanyak RM1,500 kepada kelima-lima tertuduh dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Kesemua tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |