‘Saya dah kejar, sampai sekarang tak dapat bayaran balik’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Puluhan pembeli menuntut pihak penganjur acara perjumpaan peminat bersama artis Jepun, Sakaguchi Kentaro yang dibatalkan sebelum ini, untuk memulangkan kembali bayaran tiket seperti dijanjikan.

Acara sepatutnya berlangsung pada 4 Jun lalu di sebuah lokasi di sini mengenakan harga RM1,288 (platinum), RM888 (gold) dan RM388 (silver) dengan tempahan awal (early bird) RM988 (platinum), RM688 (gold) dan RM288 (silver).

Bagaimanapun, seminggu sebelum acara berlangsung, pihak penganjur dipercayai telah menghantar notis kepada pembeli tiket berhubung pembatalan acara tersebut berserta pemakluman untuk memulangkan kembali wang mereka.

Seorang peminat hanya dikenali sebagai Ieza, 32, mendakwa dia membeli tiket tersebut pada harga RM305.73 termasuk cukai bagi kategori silver dan sehingga kini masih belum menerima bayaran seperti dijanjikan.

“Saya mula emel pihak penganjur dari hari pertama mereka maklumkan acara ini dibatalkan. Saya dah ‘kejar’ mereka dari awal Jun dan sehingga kini belum dapat bayaran balik.

“Malah saya juga telah disekat (block) daripada media sosial pihak penganjur disebabkan sering menghantar mesej dan komen bagi menuntut wang saya. Banyak kali saya emel mereka, tapi tak dibalas,” dakwanya.

Berikutan itu, dia telah mengadukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta memfailkan kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pengguna yang mana prosiding akan berlangsung pada Oktober depan.

Seorang lagi pembeli hanya mahu dikenali sebagai Mimi, 22, mendakwa dia juga berdepan masalah sama apabila pihak penganjur kini tidak membalas sebarang emel berhubung pertanyaan pemulangan bayaran tiket.

“Saya beli tiket silver (early bird) berharga RM288 dengan jumlah kerugian RM305.73. Saya emel mereka sejak 8 Ogos dan tidak pernah dilayan. Saya juga hantar mesej (di media sosial) pada 28 Mei, mereka ada jawab dan selepas itu tiada lagi jawapan.

“Saya ada juga komen (Instagram) dan tak dapat layanan. Pada masa ini saya sudah buat permohonan di Tribunal Tuntutan Pengguna dalam masih dalam proses,” katanya.

Dia merayu pihak penganjur memulangkan wang berkenaan lebih-lebih lagi sangat memerlukan duit ketika ini.

“Saya dengan rendah hati merayu pihak penganjur segera boleh memulangkan semula wang tersebut kerana jumlah ini amat penting bagi saya sebagai pengguna. Saya nak mereka jujur mana pergi duit itu.

“Saya sedang menjalani latihan industri dan wang membeli tiket tersebut saya kumpul sejak belajar,” katanya.

Seorang lagi pembeli yang enggan dikenali berkata, dia kerugian RM1,501.99 harga tiket platinum berserta cukai dan perlindungan pemulangan wang.

“Saya bercadang untuk melaporkan perkara ini kepada Tribunal Tuntutan Pengguna bagi mendapatkan kembali wang berkenaan. Pertanyaan saya melalui emel juga tidak berbalas sehingga kini,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |