ALOR GAJAH – Kerajaan negeri ini membina sebuah litar kawalan jauh (RC) bernilai RM500,000 di Pantai Tanjung Bidara yang bakal menjadi tarikan terbaharu pelancong dalam dan luar negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, litar tersebut telah siap dibina pada tiga minggu lalu dan dibuka secara rasmi hari ini bagi kegunaan peminat sukan itu.
“Litar RC ini adalah satu-satunya yang terbaik di Malaysia dan kita yakin ia mampu menarik peminat hobi dari luar negara, kos pembinaan sebanyak RM500,000 ditanggung kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ia akan menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan Pantai Tanjung Bidara yang kini sedang berwajah baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan litar berkenaan dan Majlis Penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, selain litar RC, kerajaan negeri turut merancang menambah pelbagai kemudahan lain termasuk memperluaskan kawasan letak kereta dan menyediakan lebih banyak ruang niaga kepada peniaga kecil tempatan.
“Pesta Pantai ini juga memperlihatkan keindahan seni budaya Melayu dengan pengisian seperti tarian tradisional, pertandingan Raja dan Ratu Dondang Sayang serta program melibatkan anak-anak sekolah.
“Sepanjang tiga hari acara ini berlangsung, kita telah menerima lebih 25,000 pengunjung dan saya mahu pesta ini dijadikan acara tahunan yang bukan sahaja menghidupkan warisan budaya tetapi melonjakkan industri pelancongan Melaka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
Terdahulu, majlis penutup pesta itu turut menhidangkaj pelbagai pengisian menarik kepada pengungjung termasuk persembahan seni, pameran kerjaya melibatkan pasukan keselamatan, selain pelbagai aktiviti riadah pantai.- KOSMO! ONLINE