Pemandu jentera dikhuatiri tertimbus runtuhan kuari

4 hours ago 3

RAUB – Usaha mencari seorang pemandu jentera pengorek yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan tebing kuari di Ulu Gali, di sini, semalam, diteruskan pagi ini.

Difahamkan mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, pada mulanya sempat melompat keluar daripada jentera yang dikendalikannya untuk menyelamatkan diri dalam insiden kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

Bagaimanapun, malang menimpa apabila dia dipercayai dihempap bongkah batu besar yang runtuh sebelum tertimbus di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja mengumpul batu di kuari berkenaan.

“Bongkah batu yang runtuh bukan sahaja menghempap mangsa, malah turut menimpa jentera pengorek terbabit.

“Tiga pekerja warga asing yang berada berhampiran juga cedera dan dihantar ke Hospital Raub untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anggaran keluasan timbunan batu akibat runtuhan itu mencecah 300 meter persegi, sekali gus menyukarkan operasi mencari mangsa.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus laporan diterima pada pukul 1 tengah hari dengan tumpuan di lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Bomba telah menggali kawasan runtuhan yang dipercayai tempat mangsa tertimbus, namun sehingga operasi ditangguhkan petang semalam, mangsa gagal ditemui. Operasi SAR disambung semula pukul 8 pagi tadi.

“Keadaan runtuhan masih berisiko apabila terdapat pergerakan tanah di tebing kuari terbabit, sekali gus menambah cabaran kepada pasukan penyelamat,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada polis sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi dengan dua jentera. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |