Naik taraf Hospital Bukit Mertajam di peringkat penilaian

3 hours ago 1

BUKIT MERTAJAM – Usaha menaik taraf Hospital Bukit Mertajam (HBM) yang berusia 135 tahun kini berada di peringkat penilaian reka bentuk oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha tersebut melibatkan kajian terperinci dari segi reka bentuk, blok perkhidmatan serta jumlah perbelanjaan yang diperlukan sebelum keputusan dimuktamadkan.

Menurut beliau, hospital itu kini mempunyai kira-kira 242 katil, namun perancangan baharu disasarkan untuk menggandakan kapasiti bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Langkah ini akan memberi perkhidmatan lebih selesa kepada penduduk Bukit Mertajam dan kawasan sekitarnya, selain suasana kerja lebih baik kepada pegawai perubatan serta jururawat,” katanya selepas menghadiri perasmian prasarana mesra OKU dan Komuniti Hospital Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Steven berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang juga bersetuju menyerahkan tanah di Bukit Mertajam Rest House seluas kira-kira lapan ekar untuk kegunaan hospital.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad minggu depan bagi mempercepatkan proses perancangan termasuk reka bentuk dan penilaian kos, supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat dengan segera.

Jelasnya, Hospital Bukit Mertajam baru-baru ini diumumkan sebagai Hospital Paling Lestari di ASEAN selepas berjaya mengurangkan penggunaan tenaga hampir 11 peratus, bersamaan penanaman 4,000 pokok, selain penjimatan kos RM250,000 setahun.

“Ini bukti bahawa walaupun sebuah hospital lama berusia 135 tahun, ia tetap mampu menerapkan unsur kelestarian dan teknologi hijau yang memberi manfaat besar kepada pesakit dan negara,” katanya.

Selain itu, dalam lawatan sama, Steven turut meninjau kemudahan mesin mesin scan tomografi komputer (CT Scan) bernilai RM5 juta yang mula beroperasi sejak tahun lalu dan telah memberi manfaat kepada lebih 6,500 pesakit. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |