‘Sekarang lebih rapat dengan Tuhan, walau tak lagi bertudung’

3 hours ago 2

GENTING HIGHLANDS – Mencuri perhatian ramai, penyanyi Putri Dahlia tampil dengan imej baharu tanpa hijab ketika menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena of Stars, semalam.

Menurut anak kepada penyanyi Datuk Nora Ariffin itu, keputusan membuka tudung dibuat selepas 15 tahun berhijab kerana mahu memahami agama dengan lebih mendalam.

“Saya mula pakai tudung dari umur enam tahun, saya tak dapat belajar agama saya sendiri. Saya hanya pakai tetapi tidak tahu (tak faham).

“Saya hanya mahu mulakan perjalanan baru dan nak belajar cari jalan sendiri dalam agama. Saya sekarang lebih rapat dengan Allah walaupun sudah tidak bertudung.

“Kalau sesiapa nak kecam, ini antara saya dengan Allah sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online semasa acara AIM24 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, semalam.

Menolak dakwaan keputusan tersebut berkait dengan kisah keluarganya, Putri, 21, menegaskan bukan untuk mencetuskan kontroversi atau memberontak.

“Orang lain boleh buat cerita apa saja tetapi keputusan saya membuka tudung bukan untuk mencetuskan kontroversi atau memberontak.

“Apa yang dilalui ibu (Nora) tidak ada kena-mengena. Apa yang ibu saya lalui (kisah rumah tangga) saya sentiasa berikan sokongan terhadapnya.

“Apa saja yang dilalui oleh adik-beradik lain, saya harap mereka dapat hadapinya dengan tenang,” ujarnya lagi.

Tambahnya, keluarga termasuk Nora turut memberikan sokongan penuh terhadap keputusannya.

“Ibu dan keluarga beri sokongan kepada saya. Mereka cakap saya nampak cantik. Apa yang penting sebagai orang Islam perlu jadi orang baik.

“Sebelum ini saya pernah cakap dengan keluarga bahawa perkara ini (buka tudung) akan terjadi tetapi mereka cakap tak mengapa kita sama-sama doa asalkan saya gembira dan menunaikan solat.

“Kalau nak ikut cakap orang sampai bila-bila pun saya rasa kita boleh jadi gila. Contoh terbaik adalah keluarga saya, mak saya artis dia kena ikut cakap orang sampai sekarang dah jadi ‘gila’. Saya saja anak yang pentingkan kesihatan mental,” jelasnya.

Pada masa sama, pelantun lagu Aku Ada itu menegaskan tidak mahu lagi terbeban dengan kecaman netizen serta memilih untuk memberi tumpuan kepada muzik dan hubungannya dengan Allah.

“Saya sebenarnya tak baca komen atau kecaman netizen. Bukan saya tidak peduli tetapi saya sedang fokus untuk album baharu.

“Saya nak tukar nama daripada Putri Dahlia kepada Dahlia saja. Saya rasa nama itu sinonim sebagai ikon islamik.

“Saya nak jadi diri saya. Di masa hadapan saya memang tidak akan baca komen-komen netizen dan hanya mahu fokus hubungan dengan Allah saja,” katanya.

Untuk rekod, Putri Dahlia merupakan anak perempuan kepada Nora dan komposer Allahyarham Johan Nawawi.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |