Sukan SEA: Grace dedah perit ‘hilang’ jurulatih

2 hours ago 1

BANGKOK – Hilang sentuhan jurulatih dan berlatih sendirian antara liku terpaksa ditempuh ratu tukul besi negara, Grace Wong sebelum berjaya melengkapkan hatrik emas pada Sukan SEA 2025 semalam.

Atlet berusia 25 tahun itu hampir hilang arah selepas jurulatihnya, Gu Yuan pulang ke China dua tahun lalu, memaksanya berlatih tanpa bimbingan khusus di Malaysia.

Inisiatif sendiri mengeluarkan wang saku sebelum mendapat bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim untuk kembali berlatih di China selama tiga bulan menjadi titik tolak kebangkitannya pada temasya dwitahunan tersebut.

“Sebelum datang sini, saya hanya sasarkan perak sebab pencabar Thailand, Mingkamon Kumphon berlatih di Jepun dan dia ranking No. 1 di Sukan SEA.

“Dalam latihan saya cuma mampu buat sekitar 60m. Kejayaan hari ini memang di luar jangkaan, jurulatih pun terkejut saya mampu melakukan dengan baik,” ujarnya yang kini mengintai peluang diserapkan dalam program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Asia dan Komanwel.

Lebih manis, atlet dari Sarikei, Sarawak itu bukan sahaja memenangi pingat emas dengan catatan baharu kebangsaan tetapi turut meleburkan rekod Sukan SEA.

Grace sebenarnya tiga kali mencipta catatan baharu kebangsaan dan Sukan SEA bermula balingan 63.83 meter (m) untuk memadam rekod Malaysia, 63.53m dilakarnya pada Terbuka Malaysia, Ogos lalu.

Grace sekali lagi memecahkannya dengan catatan 65.09m sebelum memperbaharui buat kali ketiga pada aksi di Stadium Nasional Suphachalasai semalam itu menerusi balingan sejauh 65.41m.

Ia secara tidak langsung memadam rekod Sukan SEA, 61.87m yang diciptanya pada edisi Kemboja 2023.

Mingkamon dan seorang lagi atlet dari Thailand, Sawitree Kaewasuksri meraih pingat perak dan gangsa dengan catatan 60.74m serta 56.27m.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Nurul Hidayah Lukman menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 52.21m. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |