Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati cuma kekasih, ada 10 rekod lampau

2 hours ago 1

MELAKA – Salah seorang wanita yang menuntut siasatan terhadap tiga penjenayah ditembak mati di Durian Tunggal pada 24 November lalu dengan mendakwa kononnya dia adalah isteri si mati sebenarnya hanyalah kekasih dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk kesalahan cubaan membunuh.

Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, semakan mendapati wanita terbabit yang berusia 31 tahun tidak mempunyai sebarang hubungan perkahwinan dengan si mati, sebaliknya hanya tinggal bersama sebagai pasangan kekasih sejak kira-kira tiga tahun lalu di Durian Tunggal.

Tambahnya, bapa kepada wanita berkenaan pula merupakan individu dikehendaki polis dengan 24 rekod kesalahan pelbagai jenayah termasuk bunuh, selain pernah dijatuhi hukuman.
“Bekas isteri sebenar mangsa berada di Johor dan sudah lama ditinggalkan. Wanita itu bukan isterinya dan mempunyai rekod jenayah sejak 2012 membabitkan kes curi kenderaan, samun, cubaan bunuh serta satu tangkapan baharu di Jasin pada Julai 2025.

“Siasatan lanjut mendapati bapanya pula diburu polis susulan dipercayai terlibat dalam kes curi kenderaan dan curi dalam bangunan. Dia juga memiliki 24 rekod lampau membabitkan jenayah samun, curi kenderaan, cubaan bunuh dan kes bunuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan kes tembakan tersebut kini diambil alih oleh pasukan siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, namun kontinjen negeri masih mengendalikan kes jenayah membabitkan bapa kepada wanita berkenaan.

“Polis Melaka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar. Kita tidak campur tangan, semuanya dijalankan oleh Bukit Aman.

“Cuma bagi kes bapa wanita tersebut, pasukan kita masih menjalankan siasatan termasuk kes curi lori,” ujarnya.

Terdahulu, kejadian tembakan itu berlaku pada 24 November lalu apabila tiga penjenayah dikehendaki membabitkan kes samun didakwa menyerang anggota polis ketika cuba ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal kira-kira pukul 4 pagi.

Seorang koperal dilaporkan mengalami kecederaan serius pada tangan kiri selepas ditetak suspek semasa operasi tersebut. Ketiga-tiga suspek kemudiannya ditembak mati oleh pasukan polis.

Susulan kejadian itu, pasukan peguam yang mewakili keluarga, iaitu isteri-isteri kepada tiga lelaki berkenaan, menuntut Bukit Aman menyiasat kematian mereka dengan mendakwa terdapat unsur salah laku berdasarkan bukti audio dan forensik. Rakaman audio berdurasi 13 minit turut didakwa dirakam semasa kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |