PETALING JAYA – Rata-rata pengguna media sosial hari ini bercerita tentang dinar emas yang menjadi hadiah hantaran untuk Erra Fazira yang selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya Mohamad Ezwan Mohamad Zain.
Pada majlis yang berlangsung kira-kira pukul 9.20 pagi tadi, Mohamad Ezwan, 44, telah menyerahkan mas kahwin berupa 24 dinar emas kepada Erra,51.
Di sebalik kemewahan hantaran itu, pengguna bukan sahaja tersentuh pada harga hantaran tersebut, tetapi juga pada ‘nilai’ yang ada pada pelakon dan penyanyi tersebut.
Menerusi perkongsian di Public Health Malaysia (PHM), emas dinar tak ‘jadi mahal’ sebab berkilat, tetapi ia mahal sebab tulen, ada berat, ada standard, dan bila diuji dia tak berubah jadi benda lain.
“Sebab itu bila Erra terima mas kahwin sepohon bunga emas berisi 24 keping dinar, ia macam ayat yang lembut tapi kuat, ‘awak memang layak dihargai setinggi itu’.
“Itu sebenarnya maksud ‘value’ (nilai) seseorang. Nilai bukan pada bisingnya nama, bukan pada cantiknya gambar.
“Nilai ialah apa yang kekal bila kamera tutup. Cara dia jaga diri, jaga maruah, jaga hati orang, dan tetap tenang walau hidup pernah diuji,”tulis PHM.
PHM menambah, bila Erra kongsi petua awet muda dari ibu, dia tak mula dengan produk mahal.
“Dia mula dengan disiplin, jangan makan bergoreng, jangan ambil kafein. Jaga dalaman dulu, barulah luaran jadi tenang dan tahan lama.
“Cantik tu bukan ‘cover’, cantik tu tanda badan kita tak dipaksa menanggung semua benda seorang diri,”kata PHM.
Mengulas lanjut, PHM memberitahu, walaupun hari ini orang kagum tengok dinar, tetapi apa yang lebih mengkagumkan adalah nilai yang buat seseorang itu jadi ’emas’.
“Yang paling mahal dalam hidup, bukan hadiah yang diterima, tapi diri yang kita jaga sampai tetap bersinar,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5















































