Meremang! Kali terakhir menang 1996, hargai usaha peminat – KRU

9 hours ago 5

KUALA LUMPUR: Selepas puluhan tahun meninggalkan pentas anugerah kategori popular, kumpulan legenda KRU kembali mencipta detik manis apabila diumumkan pemenang kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan di Anugerah Bintang Popular ke – 37 (ABP37)

Kemenangan itu dianggap rezeki tidak disangka, lebih-lebih lagi setelah mereka kembali aktif di pentas konsert dan menerima sokongan generasi baharu.

Menurut anggotanya, Datuk Norman Abdul Halim, 53, pengiktirafan tersebut meninggalkan kesan besar kerana jarak kemenangannya terlalu panjang sejak kali terakhir mereka menjulang trofi hampir tiga dekad lalu.

“Alhamdulillah, pertama sekali syukur sebab legasi masih hidup. Faktor utama adalah ibu bapa (seusia KRU) sokong kami sejak 90-an, anak-anak mereka pun membesar dengan lagu KRU. Bila buat konsert, generasi baharu pun datang.

“Semua lagu kami lama tapi masih diputarkan. Itu bantu kami meremajakan lagu-lagu kami. Bila kami bergabung semula, sambutan memang luar biasa,” katanya kepada HibGlam.

Menceritakan detik diumumkan sebagai pemenang, Norman mengakui rasa sebaknya sukar dibendung.

Menurutnya, kejayaan KRU tahun ini turut disumbangkan oleh kejayaan konsert besar mereka yang mencetus semula gelombang sokongan peminat.

“Terus terang, bila sebut soal menang, saya meremang. Kali terakhir kami menang pun sekitar 1996. Lama sangat.

“Tahun ini memang refleksi semua usaha kami. Bila kami tumpu betul-betul, hasilnya nampak.

“Selepas konsert, semuanya meledak. Kami hargai usaha peminat. Lagu kami pun jadi tenaga untuk mereka. Kami bertanding pun kerana mereka. Mereka undi habis-habisan. Jadi saya cakap, kemenangan ini milik peminat,” tambahnya.

KRU menewaskan lima pencabar lain iaitu Aisha Retno & Aziz Harun, De Fam, Dolla, serta Akim & The Majistret.

Tema ABP37, ‘Satu Keunggulan’ dipilih sebagai simbol penyatuan, keunikan dan penghormatan terhadap seniman yang merintis jalan dalam dunia seni.

Malam acara dimeriahkan hos utama, Raja Azura dan Shiha Zikir, sekali gus mengekalkan reputasi ABP sebagai anugerah pilihan peminat paling berprestij dan paling lama bertahan di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |