BANGKOK – Atlet lontar peluru negara, Nani Sahirah Maryata mengakui tekanan dan kegagalan yang menghantuinya dalam beberapa kejohanan besar sebelum ini akhirnya terlerai dengan air mata kegembiraan selepas menghadiahkan pingat emas sulung di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Beraksi di Stadium Nasional Suphachalasai, atlet berusia 24 tahun itu mempamerkan karakter luar biasa apabila melakukan lontaran sejauh 16.36 meter (m) sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 15.39m yang dilakukan di Kangar, Perlis tahun lalu.
Kejayaan Nani menewaskan atlet tuan rumah, Areerat Intadis (16.04m) dan wakil Vietnam, Huyen Kim Thi (15.92m) dianggap ‘magis’, apatah lagi beliau hadir ke Bangkok tanpa sebarang sasaran pingat emas selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tahun.
“Banyak kali saya kalah tahun ini. Di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dan Kejohanan Asia, saya cuma mampu buat 14 meter. Tak pernah sentuh 15m pun. Saya sangat kecewa dan tertekan dengan keputusan itu.
“Jadi hari ini saya tekad. Saya cakap pada diri sendiri, aku nak lawan mereka, lawan diri sendiri, lawan sakit. Ini peluang terakhir tahun ini untuk buktikan kemampuan,” katanya dalam nada sebak selepas menghadiahkan emas buat negara.
Nani turut mengakui jarak melepasi 16m itu sesuatu yang langsung tidak pernah terlintas di fikiran, lebih-lebih lagi tanpa pernah mencapainya dalam sesi latihan.
“Orang tak letak sasaran emas pada saya. Dalam latihan pun tak pernah cecah 16m. Jadi ini memang rezeki dan kejutan paling besar tahun ini. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat buktikan kemampuan,” jelasnya.
Pingat emas itu menjadi pembakar semangat buat Nani untuk mengejar tiket ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan, dengan sasaran baharu untuk menembusi jarak 17m.
Sementara itu, kem olahraga negara terus bersinar apabila Grace Wong menepati ramalan mempertahankan pingat emas baling tukul besi wanita sambil memecahkan rekod kebangsaan dan temasya menerusi balingan 65.41m.
Dalam acara 110 meter berpagar lelaki, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif yang turun mengambil bahagian di temasya dwitahunan itu turut melakukan kejutan apabila menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia selepas menamatkan larian dengan catatan masa 13.85s.
Dalam pada itu, impian jaguh 400 meter negara, Umar Osman untuk mempertahankan emas edisi 2023 di Kemboja tidak kesampaian selepas menamatkan saingan di tangga kelima dengan catatan 47.13 saat. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5















































