Aktiviti B2B perkasakan Festival Kraf Perak 2025

8 hours ago 3

TELUK INTAN – Festival Kraf Pe­rak (FKP) 2025 menampilkan pendekatan baharu bersifat strategik apabila melibatkan elemen aktiviti Pada­nan Perniagaan Business to Business atau perniagaan ke perniagaan (B2B) melibatkan usahawan kraf tempatan dan pembeli berpotensi.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot, elemen perniagaan berimpak tinggi itu melibatkan usahawan kraf tempatan dan pemain industri besar seperti syarikat pengeksport barangan kraf, agensi kerajaan, industri perhotelan dan pusat beli-belah.

Katanya, B2B amat penting bagi membuka peluang kerjasama usahawan kraf dan pembeli dalam memperluaskan pasaran, meningkatkan jualan serta memperkukuh jaringan perniagaan secara strategik dan berterusan.

“Berdasarkan pemantauan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), saya optimis sasaran nilai jualan kraf sempena FKP 2025 sebanyak RM1.4 juta boleh dicapai malah berharap nilainya lebih tinggi.

“Pencapaian nilai jualan pada tahun lepas (2024) ialah RM1.128 juta,” katanya pada sidang media sempena Sesi Walkabout FKP 2025 di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Surrendren Sathasivam dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

FKP 2025 berlangsung selama 11 hari bermula 28 Ogos lalu sehingga Ahad ini yang sarat dengan pelbagai program menarik terbuka kepada semua pengunjung seperti aktiviti interaktif kraf, pertandingan gusti lengan dan demonstrasi anyaman kelarai, anyaman mengkuang, pembuatan seramik serta tekatan benang emas.

Shaharuddin turut menyantuni 55 usahawan kraf yang terlibat dalam FKP 2025 termasuk tujuh Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) iaitu PPKK Kraf Anyaman Rotan Orang Asli Pos Kuala Mu, PPKK Kraf Anyaman Rotan Orang Asli Lenggong, PPKK Kraf Anyaman Rotan Orang Asli Pos Yum, PPKK Kraf Batik Muallim dan PPKK Kraf Batik Kampung Gajah.

Selain itu, PPKK Kraf Batik Temenggor,PPKK Kraf Batik dan Jahitan Lempor bertujuan mempromosi produk kraf mereka secara terus kepada pembeli sekali gus melatih menjadi usahawan.

Beliau optimis FKP 2025 yang diadakan secara konsisten di menara ikonik bersejarah itu dapat menarik kehadiran 110,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Ini merupakan platform kepada usahawan untuk mempromosi, mengkomersialkan poduk kepada masyarakat tempatan dan pelancong selain bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat terhadap produk kraf beridentiti negara.

“Penganjuran festival ini selari persiapan bagi menyambut pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mempergiatkan promosi pelancongan negara malah menonjolkan keunikan seni kraf tempatan,” katanya.

Justeru, penganjuran festival sebegini akan diperbanyakkan bagi membuka peluang usahawan dan komuniti kraf menjana pendapatan serta memperluaskan jaringan kerjasama meningkatkan industri ini secara keseluruhan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |