Hari ketiga rekod transaksi tertinggi Sara lebih 1.1 juta

5 hours ago 3

PETALING JAYA – Lebih 1.1 juta transaksi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan penyaluran Sara bulanan berjaya disempurnakan pada hari ketiga pelaksanaannya, semalam.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan memaklumkan, dalam tempoh berkenaan, jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.

Secara keseluruhan menurut MOF, lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sara dan Sara dalam tempoh tiga hari.

“Ia melibatkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat jam 10.30 malam semalam, berbanding RM50 juta pada 31 Ogos 2025.

“Pada masa yang sama, kadar transaksi yang berjaya juga telah meningkat kepada 95 peratus berbanding 79 peratus bagi tempoh sama,” kata kenyataan itu.

Menurut MOF, peningkatan jumlah transaksi sejak 31 Ogos lalu menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit, berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.

“Ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini. Bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan telah dipertingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

“Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir.

“Peningkatan ini dijangka akan mempercepat proses transaksi dan meningkatkan keselesaan pengguna,” tambah MOF.

Dalam masa sama, MOF turut menzahirkan penghargaan terhadap sambutan menggalakkan daripada para penerima.

“Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.

“Kredit RM100 Penghargaan Sara kekal sah sehingga 31 Disember ini, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara,” jelas kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |