SIAPA sangka pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei hampir berputus asa dan mahu meninggalkan gelanggang badminton ketika berdepan pelbagai masalah kesihatan yang hampir meragut kariernya.
Bagaimanapun, hari ini namanya menjadi sebutan bukan sahaja di seluruh negara, malah seantero dunia selepas muncul sebagai juara bersama gandingan, Chen Tang Jie pada Kejohanan Badminton Dunia 2025.
Pada 2019, pemain berusia 25 tahun pernah mengambil keputusan bersara apabila berdepan masalah sinus kronik sebelum kembali semula ke gelanggang setahun kemudian.
Ketika sedang mula mengatur langkah untuk kembali aktif, Ee Wei sekali lagi berdepan ujian getir apabila disahkan mengidap tuberkulosis (TB) tulang belakang pada 2021 sehingga memaksanya terlantar di hospital.
“Saya pernah rasa mahu berputus asa kerana berdepan pelbagai masalah kesihatan sebelum ini. Perjalanan saya tidak mudah kerana penuh dengan jatuh bangun selain mengalami pelbagai masalah kesihatan.
“Saya bersyukur kerana MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) dan RTG (Road to Gold) banyak memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Dalam pada itu, Tang Jie dan Ee Wei juga pernah dipisahkan buat seketika Mac lalu akibat sudah tidak ada persefahaman sebelum kembali digandingkan di Terbuka Singapura pada penghujung Mei.
Sementara itu, Tang Jie menjelaskan, kejayaan mereka menjadi beregu campuran pertama negara muncul juara dunia adalah disebabkan komunikasi yang semakin serasi selepas kembali bergandingan.
“Bagi kami, setiap kejohanan adalah pengalaman. Menang ataupun kalah bukan ukuran semata-mata tetapi apa yang kita lalui dan cara berkomunikasi setiap hari adalah lebih penting,” ujarnya.