Zainani Jusoh dilantik Akauntan Negara baharu

5 hours ago 4

PUTRAJAYA – Timbalan Akauntan Negara (Korporat), Jabatan Akauntan Negara, Zainani Jusoh dilantik sebagai Akauntan Negara yang baharu berkuat kausa hari ini.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Akauntan Negara sebelum ini yang telah bersara wajib semalam.

Jabatan Akauntan Negara dalam kenyataan berkata, surat pelantikan beliau disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu berdasarkan pengalaman luas dalam pengurusan perakaunan dan kewangan sektor awam serta pembangunan sistem perakaunan kerajaan.

“Beliau adalah seorang Akauntan Bertauliah dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan ahli The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA).

“Beliau juga berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, Zainani berpengalaman sebagai penjawat awam lebih daripada 30 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada tahun 1994 sebagai Akauntan di Pasukan Petugas Sistem Perakaunan Mikro Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, sepanjang perkhidmatannya, beliau telah berkhidmat di pelbagai jabatan dan kementerian antaranya Lembaga Peperiksaan Malaysia, Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar Negeri (KLN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Antara sumbangan besar beliau dalam pembangunan sistem perakaunan kerajaan adalah terlibat dalam menukar landskap pengurusan perakaunan di kedutaan Malaysia luar negara dari manual kepada pendigitalan.

“Perubahan yang besar ini membantu pengurusan kewangan di semua kedutaan Malaysia dapat diuruskan dengan lebih cekap, tepat dan cepat,” katanya.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat) pada September 2023, beliau telah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Khidmat Perunding Jabatan Akauntan Negara dan Pengarah Bahagian Akaun Kementerian Kewangan pada tahun 2019 sehingga tahun 2023. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |