Gelaran ‘welder lady’ di GiatMara bukti kejayaan Nur Batrisya

2 hours ago 1

SEBERANG PERAI – Sikap gemar mencabar kebolehan diri mendorong seorang graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dalam Kursus Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Nur Batrisya Alia Kamarulzaman menuruti jejak langkah bapanya dengan menceburi bidang tersebut.

Gadis berusia 20 tahun itu bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian di GiatMara Padang Besar di Perlis malah telah ditawarkan pekerjaan sebaik sahaja beliau menamatkan latihan industri sejak setahun lalu.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, kerjaya jurukimpal yang lazimnya didominasi lelaki sebenarnya turut mampu dikuasai wanita, malah menawarkan pendapatan lumayan sehingga lebih RM7,000 sebulan.

“Minat timbul apabila melihat ayah bekerja dalam bidang sama dan beliau banyak memberi kata-kata semangat untuk saya menceburinya.

“Setiap kerja ada cabarannya, namun saya bersyukur kerana berpeluang memperolehi pekerjaan berdasarkan bidang yang dipelajari.

“Memang penat kerana kerja ini memerlukan kekuatan fizikal, ditambah saya terpaksa berjauhan daripada keluarga kerana kini bertugas Pasir Gudang, Johor,” katanya yang berasal dari Langkawi, Kedah.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di Majlis Graduasi GiatMara Ke-38 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi bekas graduan SKM Tahap Tiga dalam kursus sama, Muhammad Haris Irfan Abdul Halid, 22, pula berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi emas dalam kategori kimpalan menerusi WorldSkills Asean Manila 2025, baru-baru ini.

Beliau yang juga belas pelajar tahfiz berkata, kini fokus ditumpukan terhadap pertandingan WorldSkills Asia Chinese Taipei 2025 yang bakal berlangsung pada November depan.

“Walaupun sudah tamat pengajian, namun saya tetap meneruskan latihan bersama tenaga pengajar GiatMara sebagai persediaan rapi untuk pertandingan ini. Sudah semestinya saya berasa gementar kerana persaingan sudah semestinya sengit, namun Insya Allah saya akan melakukan yang terbaik nanti.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |