Penceramah bebas dijel 15 tahun, sebatan ‘usik’ remaja perempuan

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah bebas dipenjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhaan seksual membabitkan remaja perempuan berusia 13 tahun empat tahun lalu.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas tertuduh Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 33, gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya membuktikan kes pada akhir pembelaan kes itu.

“Mahkamah berpuas hati selepas mendengar keterangan saksi-saksi. Tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah. Oleh itu tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan hukumannya.

Bagi dua pertuduhan rogol, tertuduh didakwa telah merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun (sewaktu kejadian) di dalam sebuah kereta di sebuah kawasan parkir di Bandar Baru Puncak Alam pukul 3 dan 7 petang, awal Julai dan 27 Julai 2021 .

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.

Sementara pertuduhan amang seksual, Muhammad Fathi didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di dalam sebuah kereta di tempat sama pada Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri memohon tertuduh diberikan hukuman berat mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

Muhammad Fathi yang tidak diwakili peguam bela merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan pencari nafkah tunggal kepada tanggungan tiga isteri dan lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.

Perbicaraan kes yang bermula pada September 2023 sehingga 22 Januari 2025 menyaksikan pihak pendakwaan memanggil enam saksi termasuk mangsa bagi memberi keterangan di mahkamah.

Prosidising bela diri bagi Muhammad Fathi pula dijalankan 25 Julai 2025, dengan hanya tertuduh memberi keterangan sebagai saksi pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |