BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nuz Izzuddin Rumsani menebus kekalahan kepada Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan apabila membenam pasangan Taiwan itu pada Kejohanan Badminton China Masters.
Pada pusingan kedua di Shenzhen Arena semalam, gandingan No. 3 dunia itu memerlukan masa 36 minit sebelum mencatat kemenangan menerusi keputusan straight set 21-16, 22-20.
Walaupun mencatat kemenangan dengan aksi straight set, namun juara Terbuka India itu mengakui tetap berdepan kesukaran apabila diberikan tentangan sengit dalam kedua-dua set permainan.
Sze Fei berkata, beberapa pukulan yang dibuat pada perlawanan itu kurang menjadi dan menganggap ia mungkin disebabkan mereka kurang fokus, terutamanya ketika penghujung set kedua.
“Saya rasa ketika berada dalam situasi mata penting, kami mungkin tidak terlalu fokus kepada perlawanan tersebut sehingga menyebabkan pukulan-pukulan yang kami buat agak kurang menjadi.
“Dari segi berdepan situasi genting, saya fikir kami masih perlu belajar lebih banyak lagi, sama seperti apa yang diperkatakan oleh Izzuddin,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kemenangan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin yang dikenali dengan gelaran DinFei dalam kalangan peminat menebus semula kekalahan mereka kepada Jhe Huei-Po Hsuan pada Kejohanan Dunia selepas tewas 20-22, 21-15, 21-23 di pusingan kedua.
Sementara itu, Izzuddin juga mengakui, mereka sedikit gugup ketika beregu lawan bangkit dan menyamakan kedudukan 20-20 di set kedua kerana bimbang situasi berulang seperti Kejohanan Dunia di Paris, Perancis sebelum itu.
“Mungkin ada (gugup) serba sedikit dan ia memang mengganggu. Bagaimanapun, kami cuba untuk belajar daripada kesilapan yang lalu dan kami juga sedang menaikkan semula keyakinan selepas bergelut dalam beberapa kejohanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE