Kerjasama kunci kemenangan Tang Jie-Ee Wei

2 hours ago 2

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terus menampilkan aksi konsisten selepas meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton China Masters.

Pada pusingan kedua di Shenzhen Arena hari ini, juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-13, 13-21, 21-16 ke atas pasangan Indonesia, Jafar Hidyatullah-Felisha Pasaribu.

Kedua-dua pemain itu menunjukkan persefahaman cukup tinggi apabila Tang Jie dilihat lebih banyak membantu Ee Wei memandangkan gandingannya itu masih belum pulih daripada demam.

Tang Jie berkata, komunikasi secara konsisten menjadi salah satu kunci yang membantu dia dan Ee Wei untuk mencatat kemenangan ke atas beregu No. 12 dunia itu.

“Saya rasa kunci utama kita hari ini (semalam) adalah komunikasi dalam gelanggang. Selain itu, pemain lawan (Jafar) seperti ada kecederaan, jadi harap dia sempat untuk pulih sepenuhnya.

“Saya juga fikir kami ada kelebihan untuk memimpin perlawanan walaupun hari ini (semalam) dia (Ee Wei) kurang sihat. Jadi, ini masa saya untuk memastikan dia bermain dengan selesa,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

China Masters merupakan kejohanan sulung buat Tang Jie-Ee Wei sebagai juara dunia selepas mereka memenangi Kejohanan Dunia di Paris, Perancis hujung bulan lalu.

Sementara itu, Ee Wei mengakui bermain dalam keadaan kurang sihat apabila masih batuk dan selesema, namun kerjasama sebagai satu pasukan membantu mereka untuk menang dan mara ke suku akhir.

“Memang Tang Jie ada cakap dengan saya mengenai taktikal permainan, jadi saya ikut sahaja perancangan dia. Ya betul (demam) dan sebelum datang ke sini memang sudah sakit,” ujarnya.

Dalam pada itu, hasrat beregu profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk meneruskan kemaraan tidak kesampaian selepas tewas 6-21, 21-16, 12-21 kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |