Malaysia berjaya laksana reformasi Parlimen

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya melaksanakan reformasi Parlimen melalui berapa inisiatif utama seperti penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan pengenalan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar lbrahim berkata, reformasi Parlimen yang sedang berlangsung itu penting bagi memperkukuhkan akauntabiliti demokrasi dan memastikan sistem tadbir urus yang benar-benar telus dan mencerminkan aspirasi rakyat.

Menurut beliau, dengan sokongan kuat Yang diPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga Malaysia telah berjaya melaksanakan reformasi paling berani iaitu menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Saya berbangga untuk menyatakan bahawa dengan sokongan kedua-dua Yang diPertua Dewan Rakyat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita telah memperkenal satu perubahan yang sangat radikal iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Ia satu pencapaian luar biasa kerana institusi Parlimen kini bebas sepenuhnya daripada pengurusan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, reformasi Parlimen malah mendapat sokongan dwipartisan dengan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk usaha memperkukuh kebebasan Parlimen.

Beliau berkata, jawatankuasa pilihan melibatkan penyertaan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bagi menyediakan mekanisme semak dan imbang pula memastikan Parlimen benar-benar mewakili suara semua pihak.

Tambah beliau, Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pula meletakkan kerajaan di bawah pengawasan lebih ketat kerana Perdana Menteri perlu memberi jawapan secara langsung berhubung isu penting setiap minggu.

Anwar berkata, Waktu Pertanyaan Perdana Menteri merupakan satu wacana yang sihat membuatkan Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa berhati-hati.

“Inilah yang memberikan makna sebenar kepada apa yang kita panggil sebagai akauntabiliti demokrasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |