Juara Paralimpik mungkin digantung

2 hours ago 2

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan tatatertib termasuk penggantungan terhadap jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou susulan isu ganjaran Sukan Paralimpik Paris 2024 bernilai RM60,000 didakwanya belum ditunaikan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin menegaskan, kenyataan Liek Hou yang melabel MPM sebagai ‘scam’ merupakan tuduhan serius dan boleh menjejaskan reputasi badan induk itu termasuk hubungan dengan penaja.

“Saya berpandangan tindakan ini satu fitnah atau tidak bertanggungjawab. Disebabkan posting (kenyataan di IG Story) ini, ia sedikit sebanyak menjejaskan sponsor (tajaan) yang hadir untuk bantu atlet.

“Saya percaya dengan tindakan sebegini, syarikat juga boleh ambil legal advice (nasihat undang-undang) untuk lindungi kredibiliti mereka.

“Kami sedang berbincang dengan peguam dan akan keluarkan surat tunjuk sebab kepada BAM serta Majlis Sukan Negara. Jika terbukti melanggar etika, ia boleh membawa kepada penggantungan,” katanya dalam sidang akhbar khas oleh MPM hari ini.

Megat turut menafikan wujud janji pembayaran RM60,000 seperti didakwa Liek Hou minggu lalu selain menjelaskan kutipan tunai yang berjaya dikumpulkan hasil penajaan hanyalah RM55,000 selain sumbangan lain.

“Untuk makluman semua, sponsorship cash (wang penajaan) yang kita kumpulkan bernilai RM55,000 sahaja. Jadi untuk RM60,000 itu saya tidak pasti dari mana datangnya nilai ini.

“Kalau benar sangat terdesak, atlet boleh hubungi saya secara terus. Tapi apabila buat dakwaan terbuka, ia merosakkan nama organisasi, sekali gus jejaskan ekosistem penajaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Megat menegaskan setiap atlet perlu lebih berhemah kerana sebarang kenyataan terbuka boleh menjejaskan imej organisasi dan peluang tajaan pada masa depan.

“Setiap tindakan ada tanggungjawab. Atlet tidak boleh rasa dirinya lebih besar daripada organisasi atau negara. Jangan sesuka hati label organisasi yang memperjuangkan komuniti OKU sebagai ‘scam’. Itu sangat memalukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |