Sime Darby Property lancar logo baharu

2 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Bhd. hari ini melancarkan logo baharu dengan identiti jenama diperbaharui, menandakan fasa penting dalam peralihan kumpulan daripada pemaju hartanah tradisional kepada syarikat hartanah bersepadu.

Logo itu mengekalkan tiga elemen utama yang sinonim dengan Sime Darby Property iaitu nama, perisai dan warna merah.

Warna merah warisan yang membawa pengiktirafan sejak beberapa dekad lalu ditambah dengan tiga lagi tona warna berbeza, menggambarkan inspirasi syarikat untuk menjadi penganda nilai kepada manusia, perniagaan, ekonomi dan planet.

Pembaharuan itu juga sejajar dengan strategi SHIFT25 yang memasuki fasa akhir tahun ini, menyasarkan untuk memperkukuh aliran pendapatan berulang dan memposisikan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian bandar.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pihaknya sedang merangka pelan jangka panjang baharu, yang bakal dibentangkan kepada Lembaga Pengarah dalam tempoh beberapa minggu.

Jelasnya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk membangunkan projek solar berskala besar dan memasuki segmen perumahan mampu milik, namun kedua-duanya masih pada fasa awal untuk pengumuman baharu dibuat.

Mengulas mengenai harapan untuk Belanjawan 2026, beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dihidupkan semula, yang disifatkannya bakal menyokong pembeli rumah dan pasaran.

“Kami juga telah meminta penjelasan berhubung beberapa perkara tentang peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), penjelasan mengenainya dapat menyelesaikan beberapa isu tertangguh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran.

Dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam pembangunan hartanah, termasuk legasi lebih 200 tahun melalui Guthrie, Golden Hope dan Sime Darby, syarikat itu telah menyerahkan lebih 100,000 kediaman di 26 perbandaran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |