PETALING JAYA – Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir. Lim Hock San telah diundang untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran ‘Now and Future’ 2025 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Persidangan yang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini yang bertemakan A Better Future adalah persidangan dan pameran perdana yang dianjurkan bersempena Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA Malaysia 2025) kali ke-46.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, dalam ucaptamanya bertajuk Building the Business of Tomorrow itu, Hock San bakal menekankan transformasi ASEAN sebagai salah satu blok ekonomi yang berkembang paling pesat di dunia, dengan gabungan KDNK melebihi AS$4 trilion pada tahun 2024.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan ASEAN bukan sahaja terletak pada dinamik ekonominya, tetapi juga pada kepelbagaian, daya tahan dan perpaduannya.
Hock San juga menekankan bahawa perniagaan masa depan memerlukan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dengan keterangkuman sosial, pertukaran budaya, dan kelestarian.
Beliau turut mengetengahkan komitmen LBS terhadap prinsip-prinsip ini melalui inisiatif perumahan mampu milik, tenaga boleh diperbaharui, dan pembangunan berfokuskan komuniti, selaras dengan keutamaan ASEAN yang lebih meluas.
“Apabila kita membina perniagaan masa depan, fokus haruslah melangkaui keuntungan. Kita harus mengangkat keterangkuman, kelestarian, dan inovasi, di samping memperkukuh kerjasama serantau,” jelasnya.
Menekankan peranan Malaysia sebagai jambatan dalam ASEAN, beliau turut menggariskan kepentingan diplomasi, hubungan antara rakyat, dan pemahaman budaya sebagai tonggak penting bagi pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang.
Hock San menampilkan keselarasan LBS dengan keutamaan pembangunan ASEAN melalui Strategi 8 x 8, yang merangkumi inisiatif seperti penerbitan SRI Sukuk Wakalah Sosial ASEAN bernilai RM200 juta untuk membiayai perumahan mampu milik, pelaburan tenaga boleh diperbaharui termasuk ladang solar bernilai RM104 juta, serta pembangunan perbandaran lestari di seluruh Malaysia.
Persidangan dan pameran ‘Now and Future’ 2025 bakal menghimpunkan ahli parlimen, penggubal dasar, dan pemimpin perniagaan dari seluruh Asia Tenggara, bersama tetamu kehormat dari negara-negara anggota ASEAN.
Persidangan ini mengukuhkan peranannya sebagai platform penting untuk dialog, kerjasama, dan perkongsian dalam membentuk masa depan yang lebih baik dan mampan untuk rantau ini. -KOSMO! ONLINE