‘Labaytum Diamond Award’ bukti Malaysia cekap urus jemaah haji – Na’im

2 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Operasi Haji Musim 1446 Hijrah yang baru sahaja melabuhkan tirai disifatkan sebagai antara yang paling berjaya apabila berlangsung lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kejayaan itu hasil usaha gigih serta komitmen tinggi petugas Tabung Haji (TH) dan agensi berkaitan yang bertugas hampir 24 jam demi memastikan kelancaran ibadah jemaah.

“Alhamdulillah, operasi haji kali ini berjalan dengan baik. Tahniah kepada seluruh pengurusan Tabung Haji dan semua pihak terlibat sama ada di Tanah Air mahupun di Tanah Suci,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1446H dan Penghargaan Sahabat Korporat 2025 di Menara TH Tun Razak di sini, hari ini.

Tambahnya, Malaysia sekali lagi mengharumkan nama negara di persada dunia apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award, pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Arab Saudi.

Anugerah itu merupakan kali keempat Malaysia menerima pengiktirafan Labaytum bagi kategori berbeza sebelum ini, sekali gus mengukuhkan reputasi negara sebagai contoh cemerlang dalam pengurusan jemaah haji.

Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi serta Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia atas kerjasama erat terutama dalam urusan visa, pelaksanaan inisiatif Makkah Route dan sokongan sepanjang operasi haji.

Dalam pada itu, musim haji tahun ini turut menyaksikan beberapa penambahbaikan termasuk integrasi Sistem SIHATdengan Pembantu Kesihatan Maya MyVAS kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia yang membolehkan rekod kesihatan jemaah diakses terus oleh pasukan perubatan di Tanah Suci.

Selain itu, Sistem Agensi Haji (SAH) turut diperkenalkan bagi memperkukuh pengurusan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

“Semua ini mencerminkan komitmen berterusan Tabung Haji dalam memperkukuh transformasi digital demi kebajikan jemaah,” jelasnya.

Na’im dalam ucapannya turut mengingatkan warga TH agar terus bekerja bersungguh-sungguh dengan penuh amanah untuk memajukan institusi tersebut. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |