KUALA LUMPUR – Bekas akauantan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH), Mohd. Khushairi Osman yang sebelum ini didakwa 54 tuduhan, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 40 pertuduhan lagi pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.8 juta.
Bagaimanpun tertuduh Mohd. Khushairi, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh empat jurubahasa mahkamah bergilir-gilir di hadapan Hakim Azrul Darus.
“Faham… mengaku tidak bersalah,” katanya.
Bagi 15 pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu dan beberapa buah syarikat.
Wang itu didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Taman Tun Dr. Ismail, disini antara tahun 2020 hingga 2024.
Sementara bagi 25 lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan 25 tuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya kepada akaun bank beberapa buah syarikat dan individu pada tempat dan masa yang sama.
Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Khushairi didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin kepada tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri ke Bahagian AMLA Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebulan sekali sehingga kes selesai.
“Syarat tambahan lain pula, pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh tidak mengganggu saksi dan dia perlu melaporkan kepada pihak pendakwaan jika berlaku sebarang perubahan kepada alamat kediamannya,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang sebelum ini diberikan kepada tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Hakim Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 untuk kesemua 40 pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 November ini bagi sebutan kes. – KOSMO! ONLINE