Sukma Selangor: Acara sukan terbanyak dalam sejarah

2 hours ago 1

SHAH ALAM- Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 mencatat rekod tersendiri apabila bakal menganjurkan jumlah acara sukan terbanyak dalam sejarah temasya tersebut iaitu 474 acara berbanding 469 yang dipertandingkan pada Sukma Sarawak lalu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, jumlah tersebut melibatkan 30 jenis sukan teras dan tujuh jenis sukan tambahan yang telah diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma pada Ogos lalu.

“Pecahan 474 acara sukan membabitkan 239 acara sukan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran. Tujuh acara tambahan tersebut adalah sukan e-Sport, kriket, catur, muay thai, kavadi, silabam dan petanque.

“Manakala 30 sukan teras pula adalah olahraga, hoki, badminton, skuasy dan lain-lain lagi,” katanya dalam sidang akhbar khas memaklumkan perkembangan penganjuran Sukma Selangor 2026 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor hari ini.

Menurutnya, semua daerah di Selangor akan menjadi venue kepada kesemua sukan kecuali acara berbasikal keirin yang akan diadakan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.

Tambahnya, kesemua venue kini sedang menjalani kerja menaik taraf kecuali Lapang Sasar Subang dan Pusat Akuatik Darul Ehsan yang mana pihak penganjur sedang menyelesaikan beberapa isu teknikal dan kesemua venue boleh diuji selewat-lewatnya Mei tahun hadapan.

“Pada 30 September ini, Sekretariat Sukma dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan menganjurkan Konvensyen Belia Selangor bagi melatih bakal sukarelawan yang bertugas pada Sukma tahun hadapan mengenai protokol dan tugasan yang mereka perlu lakukan sepanjang temasya itu berlangsung.

“Kita hendak pastikan Sukma Selangor berlangsung lancar dengan harapan, Sukma tahun hadapan adalah Sukma terbaik yang pernah dianjurkan sepanjang sejarah penganjurannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |