SEBERANG PERAI – Seramai 2,032 pelajar tahfiz berjaya menerima manfaat menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz di institut latihan dan kemahiran GiatMara seluruh negara, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mara Corporation Sdn. Bhd. merangkap Ahli Lembaga Pengarah GiatMara Malaysia, Yahaya Sani berkata, inisiatif terkini dalam pembangunan TVET telah menunjukkan arah baharu yang semakin futuristik, inklusif dan industri-sentris.
Menurut beliau, persepsi TVET sebagai kelas kedua berbanding aliran akademi dalam kalangan para belia dan remaja semakin terhakis kerana seluruh dunia sedang mengiktiraf kepentingan pemerkasaan bidang tersebut.
“Seramai 2,032 orang pelajar tahfiz telah mendapat manfaat melalui program TVET Tahfiz (di GiatMara. Angka ini bukan sekadar nombor, tetapi adalah nyawa dan masa depan yang kini lebih terjamin kerana adanya peluang melalui TVET.
“Kita mahu mereka bukan sahaja kuat dari segi ilmu agama tetapi juga mempunyai kepakaran teknikal yang membolehkan mereka berdikari, berdaya saing dan menjadi insan seimbang dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Ke-38 Zon Utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) di Butterworth di sini, semalam.
Pada Sidang 4 itu, seramai 1,635 graduan layak menamatkan pengajian dan dianugerahkan sijil kursus.
Dalam pada itu, katanya, GiatMara juga berjaya melatih seramai 1,017 pekerja gig melalui kursus jangka pendek TVET di seluruh Malaysia, pada tahun ini.
“Kepada saudara-saudara yang bekerja sebagai pekerja gig sama ada pemandu e-hailing, penghantar makanan atau apa sahaja bentuk kerja bebas, ambillah peluang yang disediakan oleh GiatMara.
“Kursus jangka pendek TVET ini dirangka khas untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran tambahan, supaya bukan sekadar bekerja untuk hari ini tetapi juga bersedia membina kerjaya dan perniagaan untuk masa depan.
“Zon Utara misalnya, kini semakin cerah kerana program TVET kita lebih mesra kepada golongan gig, dilengkapi dengan teknologi tinggi dan dirangka untuk melawan jurang pembangunan,” ujarnya.
Beritahu beliau lagi, GiatMara membekalkan tenaga kerja mahir manakala industri memberi ruang, peluang serta input untuk memastikan latihan selari dengan keperluan pasaran.
“Justeru, projek pembinaan LRT di Pulau Pinang sememangnya akan membuka banyak peluang kerjaya, khususnya kepada lepasan pelatih GiatMara Zon Utara kerana projek berskala besar seperti ini memerlukan kepakaran teknikal dan kemahiran vokasional.
“Antara peluang yang boleh diceburi ialah bidang Elektrikal dan Mekanikal, Kimpalan dan Fabrikasi Logam, Automotif dan Penyelenggaraan, Teknologi Maklumat yang selari dengan latihan kemahiran yang ditawarkan di GiatMara,” katanya.
Oleh demikian jelasnya, dengan mengintegrasikan modul berasaskan industri, GiatMara bukan sahaja memperkukuhkan kesesuaian kursus yang ditawarkan malah meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk menceburi kerjaya dalam sektor rel moden negara.
Tambah beliau, pada tahun 2024, kadar kebolehpasaran graduan GiatMara telah mencapai 99.49 peratus sekali gus membuktikan bahawa graduannya memiliki kompetensi yang diiktiraf dan bersedia menyumbang secara efektif dalam sektor guna tenaga negara.- KOSMO! ONLINE