‘20 kali call tak dapat, rupanya dah ‘sejuk’ dalam kereta’

2 hours ago 1

MELAKA – Dua beranak yang ditemukan lemas di dalam kereta dipercayai akibat keracunan gas karbon monoksida di Jalan Solok Hilir Paya Rumput di sini, malam tadi dikatakan dalam perjalanan ke rumah saudara terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berbaring di kerusi hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora kira-kira pukul 11 malam.

Menurut anak saudaranya, Khadijah Abu Bakar, 37, arwah dan anaknya itu bekerja di sebuah kedai makan di Cheng dan kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk singgah ke rumahnya di Kampung Paya Rumput.

“Arwah dan anaknya kerja di kedai makan saudara kami dari pukul 7 pagi sehingga 6 petang dan telah jadi rutin harian mereka akan singgah rumah untuk berehat sambil arwah berbual dengan ibu saya sebelum balik pukul 10 malam.

“Malam tadi kami dah siap masak tapi arwah tak sampai-sampai sehingga kami berasa pelik dan cuba hubungi 20 kali namun tidak berjawab, anaknya pun kami hubungi melalui WhatsApp tak dapat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ujarnya, pada pukul 11 malam dia telah dihubungi abangnya memaklumkan menjumpai dua beranak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam Proton Exora yang diparkir di tepi jalan kira-kira 50 meter dari rumahnya.

“Sampai sana, saya dengan anak arwah, yang masa tu pun datang ke lokasi cuba beri bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tetapi mereka dah meninggal.

“Masa kami cuba bantu arwah, memang bau gas kuat sangat dalam kereta tu dan handbrake dalam keadaan ditarik. Ada orang kampung kata mereka nampak kereta arwah diparkir di situ sejak pukul 9 malam lagi,” ujarnya.

Tambahnya, arwah yang menetap di di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah sebelum ini ada memberitahu kereta tersebut mempunyai masalah dan baru siap dibaiki semalam.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |