Didi Astillah bagi ‘hint’ BASS bakal naik pelamin?

2 hours ago 2

PETALING JAYA – “Tak salah pun kalau nak mula berlatih sikit-sikit dulu.”

Demikian seloroh pelakon Didi Astillah menerusi ruangan komen seorang peminat penyanyi, Bella Astillah dan ahli politik, Syed Saddiq yang didakwa bakal mengikuti jejak pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman mendirikan rumah tangga.

Hal Ini kerana, wanita terbabit meluahkan kerisauan andai kenyataan sedia mendaki Gunung Kinabalu sekiranya Bella dan Syed Saddiq berkahwin bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Sekali gus, respons Didi juga adik kepada pelakon drama Terjerat itu seolah-olah mengesahkan kakaknya akan naik pelamin seperti spekulasi yang bertebaran sebelum ini.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang pengguna TikTok menyatakan terkejut dengan perkahwinan Fattah dan Amira kerana dia pernah mencabar diri akan mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu jika Bella berkahwin dengan Syed Saddiq.

Bahkan, maklum balas Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 29, turut disambut netizen dengan perasaan teruja sehingga turut mengusik pemilik akaun terbabit segera membuat persediaan.

“Didi pun komen suruh ‘training’, maknanya kata tak lama lagi BASS kita akan disatukan insya-Allah,” tulis seorang pengikut.

“Tolong ‘like’ komen saya, saya nak tengok kakak ni panjat Gunung Kinabalu kalau BASS kahwin,” kata netizen lain. 

Rata-rata menyifatkan keintiman pasangan yang digelar BASS itu semakin terserlah, apatah lagi kedua-dua keluarga juga tampak merestui hubungan mereka.

Semakin menguatkan desas-desus hari bahagia mereka bakal tiba apabila pasangan terbabit didakwa turut mengadakan sesi fotografi khas di Perancis, baru-baru ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar yang menyahut cabaran Kejuaraan Ironman Dunia 2025 di Nice pada 14 September lalu turut ditemani Bella serta keluarga kedua-dua pihak.

Walaupun tidak mengesahkan status hubungan mereka, Syed Saddiq, 32, secara tidak sengaja memanggil wanita terbabit dengan panggilan ‘sayang’ ketika siaran langsung dalam media sosialnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |