MGA jalin kerjasama emas pertama antara Malaysia-Laos

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Persatuan Emas Malaysia (Malaysia Gold Association, MGA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lao Bullion Bank (LBB) dan Persatuan Barang Kemas dan Permata Laos (LGA), sekali gus membentuk pakatan industri emas pertama antara Malaysia dan Laos.

Presiden MGA, Datuk Seri Louis Ng berkata kerjasama itu menandakan satu detik bersejarah bagi pasaran emas ASEAN, apabila dua negara di rantau ini memeterai pakatan strategik dalam industri emas buat pertama kalinya.

Beliau berkata, dengan menggabungkan ekosistem mantap Malaysia bersama peranan Laos yang sedang muncul sebagai hab jongkong dan barang kemas, pihaknya sedang membina asas untuk memperkukuh kehadiran ASEAN dalam industri emas global.

“Bersama-sama, kita boleh meletakkan ASEAN sebagai hab dagangan emas terkemuka dunia.

“MoU ini mencerminkan visi bersama untuk memperkukuh peranan ASEAN dalam industri emas global, berteraskan komitmen terhadap ketelusan, amalan beretika dan pertumbuhan mampan,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MoU tersebut di Vientiane, Laos baru-baru ini.

Ng berkata, ia juga menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih mendalam serta integrasi pasaran logam berharga ASEAN.

“Malaysia kini mempunyai ekosistem emas yang antara paling maju di rantau ini dengan permintaan domestik tahunan sekitar 50 tan, pembuatan barang kemas sebanyak 40 tan serta eksport ke pasaran antarabangsa.

“Industri emas negara juga mendapat manfaat daripada pengecualian duti import dan eksport, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Nilai Tambah (VAT) ke atas jongkong emas dan barang kemas,” katanya.

Selain itu katanya, MGA sedang bekerjasama dengan World Gold Council bagi membangunkan Malaysia Best Practice Framework yang akan memperkukuh piawaian tadbir urus dan sumber bertanggungjawab, sekali gus menyokong kedudukan Malaysia dalam industri emas global. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |