[VIDEO] ‘Sekali sekala asah bakat, dah nak pencen ni’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian ramai apabila berkongsi video menebar roti canai ketika bercuti di Sibu, Sarawak bersama isterinya.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, tindakan bersahaja itu terjadi ketika beliau singgah di sebuah kedai makan di Terminal Bas Sibu untuk menikmati roti canai.

Ayob Khan kemudian terpanggil untuk mengambil alih tugas penebar roti canai selepas melihat cara penyediaannya yang kurang menepati ‘cita rasa’ peribadi beliau.

“Saya dan isteri bercuti dua hari di Sibu, Sarawak. Malam tadi pergi nak makan roti canai di Terminal Bas Sibu.

“Tapi melihat cara mamak yang tebar roti canai tu tak memenuhi cita rasa saya. Jadi saya ambil alih tugas beliau, tebar tujuh biji roti canai untuk kami makan,” katanya.

Beliau turut menambah, pengalaman itu bukan sahaja mencuit hati tetapi juga sebagai peluang untuk mengasah kembali bakat lamanya sebelum bersara.

“Sekali-sekala kena asah bakat juga… dah nak pencen ni,” ujarnya.

Tindakan spontan Timbalan Ketua Polis Negara itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Rata-ratanya terhibur dengan sisi mesra beliau yang jarang ditonjolkan kepada umum.

Malah, ada yang berseloroh mengatakan bahawa beliau boleh membuka kedai roti canai selepas bersara kelak.

Tindakan beliau juga sekali gus memperlihatkan keakraban pemimpin polis negara dengan masyarakat serta sifat rendah diri yang wajar dicontohi.

“Tan Sri, nanti dah pencen kalau jadi buka kedai roti canai bagi tau nah. Kami semua nak mai makan,” komen Mohd Aizat.

“Sekadar melepaskan kemahiran yang sudah lama terpendam. Tan Sri memang kami tahu pandai tebar roti cana dari dulu,” komen Basri Ariffin.

“Otai masih berbisa. Teringin nak rasa roti canai Tan Sri. Kalau buka kedai beritahu, kami ‘confirm’ datang,” komen Syahfizul pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |