PETALING JAYA – Ratusan kenderaan rakyat Malaysia yang bercuti di Dannok, Thailand terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk melepasi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah berikutan peningkatan pengunjung semasa cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah ketika ini.
Menerusi video-video dikongsikan orang ramai pada TikTok, kelihatan kenderaan rakyat Malaysia berdepan kesesakan lalu lintas menghala ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke Malaysia yang mana difahamkan urusan di situ ditutup pukul 11 malam.
Pada video itu, beberapa pemandu keluar dari kenderaannya untuk melihat situasi berkenaan berikutan mereka sudah ‘tersidai’ lama dalam kesesakan tersebut.
Salah satu video dikongsikan oleh pengguna TikTok Bibi DP Tamil Club Dannok memperlihatkan kesesakan lalu lintas berkenaan yang berlaku pukul 7.53 malam tadi waktu Thailand.
“Sampai sekarang tak habis-habis, semua dah keluar. Habislah, extend, extend, extend (sambung cuti),” kata perakam video berkenaan.
Pada video lain dimuat naik pengguna TikTok Faris Asmuni pula kelihatan satu keluarga keluar dari kenderaan mereka serta sambil membentang tikar dan makan di atas jalan.
Dia turut berdepan pengalaman sama menunggu berjam-jam lamanya untuk melepasi pemeriksaan pulang ke Malaysia.
“Dannok menghala sempadan Bukit Kayu Hitam pukul 6.40 petang waktu Thailand. Mahu masuk pesta, mahu balik pun pesta atas jalan ramai-ramai juga. Welcome to Thailand (selamat datang ke Thailand),” katanya.
Video-video yang dikongsikan itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai selain ada yang berkongsi pengalaman sama sewaktu melepasi ICQS Bukit Kayu Hitam malam tadi.
“Kami baru lepas Imigresen Malaysia rasa macam nak gila. Lebih kurang pukul 4 petang, melepasi Imigresen Thailand dalam pukul 10 lebih,” komen pengguna TikTok @Nurul Hani Azizi.
“Pukul 9.18 malam masih sesak, tak lepas tutup pukul 11 malam dah,” komen pengguna TikTok @Fieeeedaaaaaa.
“Sempadan tutup pukul 11 malam, tengah terkandas,” kata @AcuMieda.
“Kami antara orang-orang terakhir semalam beratur pukul 5 petang waktu Thailand, sampai kastam Malaysia pukul 11.54 malam waktu Malaysia ‘ngam-ngam soi’. Keluar sempadan Malaysia terus rasa nak sujud syukur,” kata @Nurfitrah Othman.
“Pukul 11 malam dah tutup pagar, sambung cuti,” kata @MrZam75 berseloroh. – KOSMO! ONLINE
@bebe_dpclub1982 ด่านนอก #ด่านนอกชายแดนไทยมาเล🇹🇭🇲🇾 #ด่านนอกสะเดา #Dannok ♬ Dj Thailand Viral Sound Cewek Pargoy – Donny Fernanda