‘Tolong jaga kakak saya baik-baik’

3 hours ago 2

PETALING JAYA – “Abang Fattah, tolong jaga kakak saya baik-baik sebab dia memang baik, kakak juga layak dapat abang sebab abang pun orang baik.”

Demikian titipan pesanan adik kepada pelakon dan penyanyi Amira Othman, Irfan Haris kepada abang iparnya, Fattah Amin selepas pasangan itu disatukan pada 14 September lalu.

Penyanyi lagu Bahagia Denganku itu juga berkata, wanita disayanginya mampu menggalas tanggungjawab serta menjadi suri terbaik buat lelaki terbabit.

“Sekarang ini, kakak sudah berkahwin dan kena taat pada suami. Perkara itu paling penting.

“Tapi saya yakin, Kak Ya (Amira) akan menjadi isteri yang baik untuk Abang Fattah.

“Saya tak mahu sedih sebab saya tahu kita masih boleh jumpa. Saya gembira untuk kakak dan Abang Fattah,” katanya dalam program audio siar Bukak Mulut.

Pada wawancara sama, Irfan, 23, yang diundang sebagai tetamu mengakui perubahan berlaku apabila kakaknya kini sudah menggalas status sebagai isteri orang.

“Janggal hidup saya sekarang. Kak Ya ada tanggungjawab yang lebih besar. tapi apa yang buat kakak bahagia, saya akan terus ada. Itu janji saya.

“Apa yang kita lalui, apa yang orang cakap tentang kita, saya tahu kakak pun akan ada untuk saya nanti” ujarnya.

Luahan berkenaan juga sebagai tanda kegembiraannya apabila Amira kini bertemu kebahagiaan bersama lelaki yang dicintai.

Ketika pernikahan Fattah dan Amira di sebuah resort di Sepang, Irfan tidak mampu menyembunyikan perasaan sayu apabila menangis selepas memeluk kakaknya di pelamin.

Momen syahdu dua beradik yang akrab selain sama-sama terbabit dalam arena seni itu turut tular dalam media sosial.

Terdahulu, pernikahan pasangan sensasi terbabit mendapat liputan meluas selepas mereka dikatakan intim sekitar awal tahun ini namun berteka-teki berkenaan spekulasi berkenaan.

Kemudian, pengumuman 14 September yang juga sambutan ulang tahun ke-35 Fattah dipilih sebagai tarikh ijab kabul membuatkan ramai peminat menunggu detik bersejarah itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |