BANGKOK – Tentera Thailand menafikan dakwaan Kemboja bahawa Bangkok menggunakan senjata kimia, sebaliknya menganggap tuduhan tersebut sebahagian daripada pembohongan harian oleh Phnom Penh.
“Thailand mengecam pembohongan dan taktik penipuan harian Kemboja untuk mencipta legitimasi,” kata Markas Besar Angkatan Tentera Diraja Thailand di laman Facebook sebelum menyiarkan penafian rasmi dakwaan penggunaan senjata kimia oleh Kemboja.
Menurutnya, tuduhan oleh Leftenan Jeneral Maly Socheatan selaku jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja itu tidak berasas.
Beliau mendakwa bahawa Thailand ‘melanggar kedaulatan Kemboja dan menggunakan senjata kimia semasa operasi tentera’, demikian menurut kenyataan markas Thai.
“Dakwaan ini sama sekali tidak berasas dan merupakan penyelewengan fakta yang serius.
“Thailand tidak pernah mempunyai dasar untuk membangun, menghasilkan, memiliki, atau menggunakan senjata kimia dalam apa jua keadaan.
“Kami komited sepenuhnya kepada kewajipan di bawah Konvensyen Senjata Kimia (CWC), dan mematuhi prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat awam,” kata markas sama.
“Sebaliknya, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja telah menggunakan maklumat palsu secara strategik untuk mencipta legitimasi di mata komuniti antarabangsa
“Tingkah laku ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah bersifat penipuan, manipulatif, dan merosakkan keamanan serta kestabilan di rantau ini,” katanya lagi.
Mengulas tuduhan Kemboja, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura pula berkata, ia mencerminkan usaha terancang untuk memutarbelitkan maklumat dan menjatuhkan reputasi Bangkok di mata dunia. – AGENSI