Syria adakan pilihan raya pertama pasca kejatuhan Bashar

2 hours ago 2

DAMSYIK – Syria mengadakan pilihan raya pertama sejak kejatuhan rejim bekas Presiden, Bashar Al-Assad pada Disember tahun lalu semalam, lapor akhbar Arab News.

Pilihan raya itu akan membentuk Parlimen pertama selepas kumpulan pejuang Islam menamatkan pemerintahan puluhan tahun Parti Ba’ath yang dianggotai Bashar.

Pengundian bagi 210 ahli Majlis Rakyat akan berterusan sehingga Sabtu ini dengan ahli-ahli Parlimen dipilih oleh sebuah jawatankuasa badan pemilih.

Ahli-ahli Parlimen tidak dipilih oleh pengundi individu di bawah sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Presiden Ahmed al-Sharaa.

Sebaliknya, jawatankuasa tersebut akan memilih dua pertiga daripada jumlah ahli majlis, manakala Ahmed akan melantik sendiri baki 70 wakil rakyat.

Namun, pengundian tidak akan dijalankan di wilayah Suweida yang majoriti penduduknya daripada kaum Druze dan di wilayah Raqqa serta Hasakah yang dikuasai Kurdis, berikutan pertikaian berterusan dengan kerajaan.

Damsyik bergelut untuk mengintegrasikan semula wilayah-wilayah tersebut di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan puak minoriti terhadap pengaruh golongan Islam dalam kerajaan.

Penggunaan jawatankuasa untuk memilih ahli Parlimen menimbulkan kebimbangan daripada sesetengah pihak tentang bagaimana wakil-wakil rakyat dipilih dan sama ada Parlimen itu benar-benar inklusif.

Pegawai-pegawai mempertahankan penggunaan jawatankuasa dengan alasan situasi keselamatan yang rapuh, cabaran demografi dan halangan pentadbiran yang dihadapi oleh kerajaan baharu.

Mereka berkata, adalah mustahil untuk mengadakan undi popular selagi berjuta-juta rakyat Syria masih berpindah di dalam negara dan kerajaan masih berada dalam keadaan peralihan. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |