Ram Singh lawat kubur Zara, mohon petunjuk kebenaran

3 hours ago 3

KOTA Kinabalu – Peguam Datuk Ram Singh pada Isnin melawat kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir bagi mendapatkan petunjuk kebenaran mengenai apa yang berlaku terhadap arwah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Katanya, beliau terdetik menziarahi kubur arwah untuk berdoa dan memohon petunjuk selepas lawatan ke lokasi kejadian untuk melihat kemungkinan situasi dihadapi arwah ketika prosiding locus in quo di asrama sekolah arwah pada 11 September lalu.

Ram berkata beliau meminta izin kepada penjaga kubur untuk menziarahi kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Kampung Mesapol Lama, Sipitang dan bertanya kepada beberapa individu mengenai hal berkaitan.

“Saya pergi sana sebab saya rasa macam kebenaran itu, macam there’s something missing (ada sesuatu yang kurang).

“Sebab selepas locus in quo hari itu, yang tempat kejadian semua itu, saya rasa macam ada sesuatu orang semua tidak tahu, iaitu apa sebab dia lompat, seperti dijelaskan Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu, arwah dipercayai lompat berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

“Semua orang tidak tahu atau sama ada mereka tahu, tapi tidak mahu cakap, seperti Dr. Jessie kata terpulang kepada Mahkamah Koroner untuk membuat keputusan sama ada ia adalah suicide (bunuh diri) atau bukan, semua orang mengelakkan soalan itu.

“Bagi saya, memang ada kecuaianlah, ada kecuaian dari sekolahkah atau pihak lain, something like that (sesuatu yang macam itu).

“That’s why (sebab itu) saya pergi sana (ziarah kubur arwah), saya rasa saya mahu doa, selain daripada doa, saya mahu minta satu petunjuk kebenaran, apa sebabnya, mungkin akan ada petunjuk dari situ,” katanya yang bersama rakan rapatnya bertolak ke Sipitang awal pagi Isnin.

Beliau berkata sebagai pengamal undang-undang, beliau tahu dari segi guaman, legal practice (amalan undang-undang) dan legal experience (pengalaman undang-undang), mesti ada sebab atas apa yang berlaku.

Ram bersama rakan guamannya yang mewakili seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak adalah antara pihak berkepentingan dalam inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |