SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penubuhan Pendekar Madani di sekolah-sekolah termasuk di institusi pengajian tinggi dalam usaha menghidupkan semula semangat bangsa dan budaya rakyat Malaysia.
Beliau menerusi ucapannya pada Himpunan Pendekar Madani yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai di sini berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mendukung amanat dalam menghidupkan gerakan penyatuan semangat tersebut.
“Saya percaya, Menteri Pendidikan akan bantu gerakkan kegiatan ini dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani dan seterusnya di Politeknik, Institut Pendidikan Guru dan institut pendidikan tinggi.
“Kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda. Dengan satu matlamat, mengangkat martabat dan darjat bangsa ini,” katanya di sini, hari ini.
Justeru, beliau meminta supaya gerak kerja berhubung sebarang bentuk kegiatan Pendekar Madani dimulakan segera mulai tahun ini.
“Bangsa Melayu tidak akan gagal. Bangsa Melayu akan merempat. Bangsa Melayu akan terus dihina kalau tidak ada semangat bersatu, disiplin dan kekuatan.
“Saya tegaskan semula. Sejarah kita sejarah gemilang. Bila kita sebut Kesultanan Melayu, Melaka itu apa? Kuasa? Ya. Tapi kuasa kerana ilmu. Kuasa kerana kepintaran, kerana teknologi, kerana semangat dan akhlak, disiplin yang kuat..
“Itu yang harus kita tanam di dalam diri dan inilah kuasa Pendekar Madani Yang kita sebut negara madani,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta pada tahun ini bagi tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar Madani kepada semua badan pertubuhan silat di negara ini.
Pada majlis tersebut juga, Anwar ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong ‘Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti’ oleh Datuk Dr. Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, yang mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. – KOSMO! ONLINE