SEBERANG PERAI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia sebagai ‘negara keramat’ kerana keistimewaan pentadbiran yang membolehkan semua negeri dibangunkan mengikut keupayaan masing-masing.
Beliau berkata, agenda pembaharuan ekonomi yang lebih lancar dan gagah diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Hal-hal ini menunjukkan bahawa negara kita ini negara keramat kerana hasrat kita bangunkan semua negeri dengan keupayaan mereka masing-masing.
“Ia supaya tatakelola pimpinan persekutuan dan negeri diselaraskan dan mengikuti kaedah-kaedah kekuatan yang baik.
“Kemajuan negara Madani berteraskan pertumbuhan kemampanan yang sistemik seperti mana yang disebut oleh Ketua Menteri, dengan ehsan dan rahmah,” katanya.
Anwar berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA Arena, Butterworth, di sini, malam ini.
Sambutan yang dihadiri lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan Malaysia perlu melangkah seiring kecanggihan kecerdasan buatan dan tenaga baharu tanpa mengorbankan budi dan budaya.
“Kita mahu Malaysia maju dengan nilai yang baik. Kita tidak mahu maju seperti mana negara Barat maju.
“Kita mahu maju ekonomi tetapi tinggi budaya dan budi pekerti.
“Kita mahu mencatat kemajuan kecerdasan buatan, digital dan transisi tenaga, tetapi tidak meninggalkan nilai kemanusiaan karamah insaniah,” katanya. – KOSMO! ONLINE