JOHOR BAHRU – Makar Fest Johor Bahru 2025 melabuhkan tirainya dengan kejayaan cemerlang selepas berlangsung selama empat hari, mencatat lebih 15,000 pengunjung sepanjang penganjuran.
Festival gaya hidup dan seni itu tampil dengan konsep berbeza, menggabungkan muzik, teater, seni jalanan serta pameran budaya dan interaktif.
Antara tarikan utama adalah persembahan teater arahan pengarah terkenal, Sabri Yunus, yang dipentaskan di dalam penjara sebenar. Persembahan eksklusif selama dua hari itu habis terjual dengan kapasiti 100 penonton setiap sesi.
Selain persembahan, festival ini turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila vendor makanan, produk kreatif dan usahawan muda Johor menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim, turut hadir memberi sokongan terhadap usaha memperkenalkan konsep baharu dalam penganjuran festival seni di negeri ini.
Penganjur, Issey Fazlisham, berkata sambutan hangat itu membuktikan seni, muzik dan budaya mampu digabungkan untuk mencetuskan pengalaman segar buat masyarakat.
“Makar Fest kali ini membuktikan seni, muzik dan budaya mampu digabungkan dalam konsep berbeza untuk memberi pengalaman yang segar kepada masyarakat.
“Kami amat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini, dan terima kasih kepada semua yang terlibat – daripada artis, vendor, pihak berkuasa, hinggalah kepada para pengunjung yang menjadikan festival ini hidup,” katanya.
Dengan konsep berani dan segar, Makar Fest kini dilihat sebagai antara festival seni dan budaya paling dinanti di Johor serta berpotensi untuk terus berkembang di peringkat nasional. – KOSMO! ONLINE