
- Oleh AIMUNI TUAN LAH
- 16 September 2025, 12:02 pm
GUA MUSANG – Kejadian lubang benam kelima dikesan berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini pada Jumaat lalu.
Penemuan lubang benam baharu yang terletak hanya beberapa meter dari lokasi keempat itu menyebabkan satu lorong di laluan tersebut terus ditutup buat semua laluan kenderaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacoub berkata, kejadian lubang benam sepanjang 15 meter dengan kedalaman 0.1 meter itu dikesan di jalan kebun berhampiran Kampung Jekjok.
“JKR Kelantan pada 7 Ogos lalu mengesan terdapat lubang benam keempat di laluan tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Soh memberitahu, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan berlakunya banyak lubang benam di kawasan berkenaan.
Katanya, kejadian lubang benam itu dipercayai disebabkan oleh kejadian punca air bawah tanah dan tepi pembetung di lokasi berhampiran. – KOSMO! ONLINE