‘Konsert 4U2C di Singapura, kalau kena masa, ada’

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Menjanjikan konsert terakhir sebelum bersara, penyanyi Datuk AC Mizal membuat kejutan istimewa apabila mengumumkan  tawaran yang diterima untuk mengadakan konsert 4U2C di Singapura pula.

Menurut AC yang mengumumkan perkara tersebut di pentas WE 4U2C Live In Concert di Idea Live Arena, di sini semalam, tawaran konsert berkenan adalah kejutan kepada lima lagi ahli kumpulan tersebut iaitu Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.

“Pengumuman konsert di Singapura adalah kejutan sebab mereka memang tak tahu.

“Sama ada konsert itu akan menjadi realiti atau tidak, semuanya bergantung kepada perbincangan kami selepas ini sebab masing-masing ada komitmen peribadi.

“Jika tarikhnya bersesuaian, mungkin jadi kenyataan dan tawaran konsert tersebut akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas konsert sulung 4U2C di sini, semalam.

Tambah AC yang dimaklumkan mengenai tawaran tersebut semalam berkata dia enggan memberi sebarang kata putus ketika ini dan menyerahkan keputusan selepas hasil perbincangan dengan lima lagi ahli kumpulan 4U2C.

“Sebelum ini saya pernah cakap ini konsert terakhir 4U2C. Meski ada tawaran konsert di Vietnam atau Indonesia sekalipun, kami tetap tak boleh beri jawapan segera.

“Namun, saya percaya tawaran konsert di Singapura itu disebabkan konsep yang kami bawa iaitu menyanyi, menari serta era 1990-an.

“Apa pun, kalau ada rezeki dan semua setuju, insya-Allah konsert itu akan ada” ujarnya yang bersyukur apabila komitmen konsert We 4U2C dapat dilunaskan selepas lebih tiga bulan membuat persediaan intensif.

Semalam, buat julung kalinya, 4U2C merealisasikan impian mereka apabila berjaya mengadakan konsert pertama berskala mega di Idea Live Arena, di sini.

Konsert anjuran Juss Event Sdn. Bhd. Yang berlangsung selama tiga jam itu dimeriahkan dengan lebih 3,000 penonton.

Antara lagu yang dinyanyikan ialah Fiona, Kembalilah Fiona, Berpisah Jangan, Persahabatan dan Darling I Love You. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |