Keputusan Rosmah gugur hakim, bicara kes Muhyiddin dijadual esok

2 hours ago 2

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah projek solar yang dihadapi akan diketahui esok di Mahkamah Rayuan di sini.

Pada prosiding itu, panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama hakim-hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin dijangka akan memberi keputusan tersebut.

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim tersebut telah menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung rayuan itu.

Rosmah, 74, memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zaini Mazlan pada 2022 dua hari sebelum keputusan kes solar itu dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya “penghakiman kes didakwa bocor”.

Pada 1 September tahun yang sama, Hakim Mohamed Zaini (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Selain kes Rosmah, esok juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menghadiri perbicaraan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Azura Alwi menetapkan esok hingga Jumaat ini, 6 hingga 8 Oktober dan 26 dan 27 November tahun ini serta 13 hingga 15 Januari tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Sementara pada Jumaat ini, di Mahkamah Sesyen Putrajaya, ditetapkan sebagai tarikh pengurusan kes membabitkan penyanyi, Naim Daniel yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |