Kementerian Luar pantau nahas 12 rakyat Malaysia di Tamil Nadu

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, sedang memantau rapat situasi nahas jalan raya melibatkan rakyat Malaysia di Kodaikanal, Tamil Nadu, India.

Menerusi kenyataan Wisma Putra, Konsulat Jeneral sudah mengambil tindakan dengan menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kemalangan itu serta menghubungi mangsa tersebut.

Kesemua penumpang rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dan diberi rawatan segera selepas nahas yang berlaku lewat petang kelmarin.

“Kejadian berlaku apabila sebuah van pelancong membawa 12 rakyat Malaysia terbabas dari jalan raya akibat keadaan berbukit.

“Setakat ini tiada kematian dilaporkan, namun beberapa individu dalam kumpulan itu mengalami cedera ringan. Empat lagi mengalami kecederaan serius, tetapi tidak mengancam nyawa,” menurut kenyataan itu satu hari ini.

Dalam pada itu, kesemua mangsa kini menerima rawatan di hospital tempatan, manakala Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Konsulat Jeneral juga sudah membantu menghubungkan rakyat Malaysia yang terlibat dengan ahli keluarga mereka di Malaysia,” menurut Wisma Putra.

Terdahulu media India melaporkan, sebuah van pelancong membawa 12 rakyat Malaysia terjatuh ke dalam gaung kira-kira 100 kaki di daerah Vellaiparai, Kodaikanal, Tamil Nadu.

Kejadian berlaku apabila pemandu hilang kawalan ketika melalui jalan berbukit di kawasan Peruthupparai.

Van berkenaan dilaporkan merempuh penghadang besi dan terjunam ke gaung, tetapi disekat oleh pokok yang menghentikannya daripada jatuh lebih jauh.

Mengulas lanjut, Wisma Putra turut menasihati rakyat Malaysia di India khususnya yang sedang melancong supaya berhati-hati sepanjang musim monsun yang sedang melanda, khususnya di kawasan berbukit yang terdedah kepada jalan licin dan tanah runtuh.

Mereka digalakkan untuk mendaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia terdekat bagi memudahkan bantuan sewaktu kecemasan serta digalakkan untuk mendapatkan perlindungan insurans perjalanan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |