Festival raya bakal tembusi Brunei, London

3 hours ago 2

PETALING JAYA – Festival raya terbesar dan paling berpengaruh, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2026 (ABxFGRF) bakal mengembangkan penganjurannya ketiga mulai tahun depan di destinasi baharu iaitu ke Pulau Pinang, Brunei dan juga ke London.

Pameran festival raya terbesar anjuran My Events International dan Absolut Events & Management itu telah berjaya disenaraikan dalam Malaysia Book of Records selama dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Pengarah Urusan Absolut Events & Management, Nur Ali Nadzwan berkata, ekoran kejayaan dan sambutan menggalakkan terhadap festival berkenaan, pihaknya akan membawa festival tersebut ke PICCA Convention Centre dari 6 hingga 8 Mac dan di MITEC, Kuala Lumpur bermula dari 13 hingga 16 Mac tahun depan.

Menurut beliau, sebelum itu, ABxFGR 2026 akan berlangsung di Bridex International Convention Centre, Brunei bermula dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026

“Menambahkan lagi keterujaan, pihak penganjur akan memperkenalkan satu platform baharu yang direka khusus untuk memperkasakan usahawan tempatan di pentas global.

“AbsolutBazaar x MYExpo akan dilancarkan di London di Exhibition White City dari 2 hingga 3 Mei 2026.

“Tidak seperti ABxFGR yang menumpukan kepada pengunjung musim perayaan, inisiatif ini bakal menjadi pintu masuk kepada kerjasama strategik dan kemasukan ke pasaran antarabangsa.

“Edisi London ini turut menawarkan peluang business-to-business (B2B) eksklusif untuk peserta, bagi menembusi pasaran Eropah yang lebih luas.

“Mereka berpeluang bertemu pengedar, pembeli serta rakan strategik, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama masa hadapan, peluasan eksport dan penembusan pasaran global,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Nur Ali menerangkan, dengan memperkenalkan budaya tempatan, produk halal asli, pengalaman kulinari unik dan tarikan pelancongan yang pelbagai kepada khalayak antarabangsa, langkah ini turut ­menyokong inisiatif Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Secara tidak langsung, ia memperkukuh jenama Malaysia di persada global serta meningkatkan peluang ren­tas sempadan dan kerjasama antarabangsa,”ujarnya.

Sejak diperkenalkan, ABxFGR telah mencipta rekod cemerlang, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai Festival Raya Terbesar di Malaysia.

Antara pencapaian luar bia­sanya sepanjang festival ini berlangsung, ia berjaya menjana hasil jualan sebanyak RM62.6 juta dengan melibatkan sebanyak 2,365 tapak reruai.

Ia turut merekodkan sehingga 7.95 juta pengunjung dan memperkasakan lebih 2,000 usahawan dan 400 jenama tempatan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |