Dewan Rakyat: KPM guna AI ramal murid tercicir

23 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Sistem Pengesanan Murid Kementerian Pendidikan Malaysia (SiPKPM) kini dapat meramal murid yang berisiko mengalami keciciran pembelajaran selepas sistem itu diintegrasikan dengan pengaplikasian Kecerdasan Buatan (AI)

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, SiPKPM yang telah diintegrasikan dengan pengaplikasian AI dapat meramalkan laluan pembelajaran dan juga laluan kerjaya murid berisiko cicir dan murid cicir yang berada di sekolah KPM sehingga mereka di tingkatan lima.

“Ramalan ini akan membantu untuk mengekalkan murid berisiko cicir dan murid cicir agar mereka meneruskan persekolahan mereka sehingga tamat tingkatan lima,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) apakah tahap keberkesanan pembangunan SiPKPM dalam mengesan pergerakan kanak-kanak secara komprehensif termasuk murid cicir dan kanak-kanak yang tidak mendapat akses pendidikan.

Terdahulu, Kah Woh menjelaskan, SiPKPM terbukti berkesan dalam menangani isu-isu keciciran murid apabila seramai 4,758 murid cicir berjaya kembali ke sekolah dalam tempoh 10 Februari hingga 30 Julai lalu berbanding 2,708 kembali ke sekolah pada tahun 2024.

Jelas beliau, sistem itu meliputi data semua kanak-kanak dalam umur persekolahan daripada Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 termasuk murid di institusi pendidikan swasta dan institusi pendidikan agama.

Kata beliau, sistem tersebut membantu menganalisis murid cicir dan memuat turun data secara lebih tepat, melihat ‘heat map’ lokasi murid cicir serta senarai sekolah yang terlibat.

“Sistem ini mempunyai satu ‘dashboard’ yang jelas menunjukkan trend atau kehadiran murid yang akan diklasifikasikan sama ada ia adalah (murid) berisiko rendah atau berisiko tinggi.

“Kita ada beberapa penanda aras berdasarkan kepada skor yang ada dan daripasa situ pihak sekolah akan ambil tindakan intevensi berdasarkan setiap kes dengan cara paling tepat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Kah Woh berkata berkata, tidak berminat untuk ke sekolah dikenal pasti sebagai faktor utama isu keciciran murid pada semua peringkat pendidikan di Malaysia.

Menurut beliau, faktor utama lain keciciran murid adalah dibuang sekolah, bekerja, masalah keluarga dan sakit kronik.

“Sebab murid keciciran ini adalah daripada data rasmi Kementerian Pendidikan (KPM). Terdapat faktor lain, tetapi ini adalah faktor-faktor utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |