Dewan Rakyat: 139 mangsa sindiket penipuan tawaran kerja masih terkandas di luar negara

23 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, seramai 139 mangsa sindiket penipuan tawaran kerja masih terkandas di luar negara setakat 4 Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mangsa sindiket penipuan tawaran tersebut kebanyakannya di Myanmar, Kemboja dan Laos.

“KDN memandang serius sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara yang memperdaya warga Malaysia khususnya membabitkan belia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini.

Saifuddin Nasution berkata, secara keseluruhan, seramai 672 rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja luar negara sejak 2021 hingga 4 Julai lalu.

Menurut beliau, majoriti mangsa terdiri daripada kaum Cina seramai 531 orang (79 peratus), diikuti Melayu 86 orang (12 peratus), Iban 32 orang (lima peratus), India 18 orang (tiga peratus) serta kaum lain (satu peratus) termasuk Singh, Kadazan dan Serani.

Bagaimanapun, kata beliau, daripada jumlah berkenaan, seramai 533 orang atau 79 peratus termasuk 102 wanita telah berjaya diselamatkan.

Katanya, mangsa diselamatkan paling ramai berasal dari Johor iaitu 113 orang atau 21.2 peratus, Selangor 112 orang (21 peratus) dan Sarawak 92 (17 peratus) dengan Perlis tidak mencatat sebarang laporan mangsa.

Jelas beliau, seramai 517 atau 97 mangsa berusia lebih 18 tahun, manakala bakinya adalah mangsa bawah umur membabitkan sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.

“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh usaha bersepadu bagi menyelamatkan mangsa, menumpaskan sindiket serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah ini.

“Segala maklumat, aduan dan kerjasama daripada orang awam, badan bukan kerajaan, komuniti diplomatik dan agensi swasta amat dialu-alukan dalam usaha menoktahkan segera sindiket penipuan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |