MELAKA – Seorang ejen takaful meluahkan rasa kecewanya terhadap bekas isteri selepas dihadapkan ke Mahkamah Melaka di sini, hari ini atas lima pertuduhan termasuk membuat penghantaran jelik untuk menyakitkan hati wanita itu dan menghendapnya, sejak Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Akmal Helmi Mat, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut tiga pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa dengan secara sedar membuat penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan menganggu Masura Mustafa, 40, menggunakan aplikasi Facebook melalui profil Akmal Helmi.
Perbuatan itu dilakukannya pada 30 Jun, 3 dan 4 Julai 2025 di sebuah rumah di Taman Bukit Piatu Mutiara dalam daerah Melaka Tengah.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa serta saksi dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Haziq Aizuddin Subhi bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mampu membayar jumlah dicadangkan pihak pendakwaan, selain mendakwa telah hilang pekerjaan sejak dimasukkan ke lokap.
“Ini bukan kali pertama saya dimasukkan ke lokap oleh bekas isteri, ini kali ketiga dia buat tuduhan palsu dan kes sebelum ini telah di DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan).
“Bekas isteri kerja peguam, saya tak ada jalan lain,” rayunya.
Selepas mendengar hujah kedua belah, Haderiah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 26 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.
Dalam pada itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 507(A) Kanun Keseksaan kerana secara berulang kali mengikuti dan menjejaki serta menakut-nakutkan bekas isterinya itu sehingga menyebabkan kerisauan pada 7 Julai 2025 di Hospital Putra Melaka.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui pautan Facebook terhadap wanita tersebut yang boleh mencemarkan nama baik dan reputasinya pada 4 Julai 2025 di Taman Bukit Piatu Mutiara.
Sharda kemudian membenarkan tertuduh diiikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh sama iaitu 26 Ogos untuk serahan dokumen bagi perbicaraan. – KOSMO! ONLINE