MERSING – Tiga individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memburu binatang liar dalaserbuan Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, di sini pagi tadi.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, kesemua lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 28 hingga 49 tahun.
Menurutnya, Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor turut merampas seekor bangkai harimau belang.
“Pasukan risikan FRU bertindak hasil maklumat awam sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Perodua Alza. Pemeriksaan menemukan seekor harimau belang mati (Panthera Tigris Jacksoni), dipercayai diburu secara haram.
“Kesemua lelaki yang ditahan selepas mereka gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies yang dilindungi sepenuhnya itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rosli berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas seekor harimau belang mati, sebuah kereta Perodua Alza dan empat buah telefon bimbit pelbagai jenama.
Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM294,007 termasuk haiwan, kenderaan, dan peralatan komunikasi.
“Harimau belang tersebut turut dilaporkan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat serta enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian,” katanya.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Mersing untuk dokumentasi dan tindakan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman oleh Perhilitan Negeri Johor untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 70 Akta 716 kerana menyimpan hidupan liar tanpa permit khas. – KOSMO! ONLINE