Wan Rosdy terima PhD Kehormat Ekonomi Islam dan Perbankan

5 hours ago 6

PETALING JAYA – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan.

Menerusi kenyataan, Wan Rosdy berkata penganugerahan itu melambangkan hubungan strategik yang telah lama terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dan Universiti Yarmouk sejak tahun 2001 melalui kerjasama menghantar pelajar Pahang melanjutkan pengajian di sana.

Beliau berkata, hubungan tersebut diperkukuh dengan penubuhan Kursi Pahang di universiti berkenaan pada 2011, yang berfungsi menjalankan pelbagai penyelidikan bermanfaat kepada kedua-dua pihak.

“Sehingga kini, seramai 363 anak-anak Pahang telah menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk, manakala 78 lagi masih lagi meneruskan pengajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis hari ini, satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kursi Pahang turut ditandatangani untuk memperkukuh hubungan akademik dua hala.

Wan Rosdy percaya, hubungan ini mampu diperluaskan ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau dan pembangunan lestari, seiring aspirasi Pahang sebagai negeri maju berteraskan Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Dalam syarahan umum bertajuk ‘Islamic Economics and the Future of Inclusive Development: The Pahang Model’, beliau berkongsi pendekatan pembangunan ekonomi negeri berlandaskan prinsip Islam.

Katanya, prestasi ekonomi Pahang sejak 2018 membanggakan dengan kutipan hasil melebihi RM1 bilion serta pertumbuhan KDNK mencecah RM64.9 bilion pada tahun 2023.

“Ini dicapai melalui kestabilan politik, dasar mesrapelabur dan usaha memastikan pembangunanyang inklusif serta mampan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan komitmen negeri dalam membangunkan komuniti Orang Asli, memperkasa syiar Islam, menjaga kelestarian alam sekitar serta memperkukuh kebajikan rakyat melalui Inisiatif Makmur Pahang.

Wan Rosdy berharap lebih ramai anak Pahang akan melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh untuk kemajuan negeri dan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |