I-Madina perintis Majlis Jom Kawen berkonsepkan infaq

2 hours ago 4

SHAH ALAM – Gagasan I-Ma­dina mahu menjadikan program sulungnya iaitu Majlis Jom Ka­wen yang menjayakan satu majlis kenduri kahwin melibatkan dua pengantin daripada keluarga B40 melalui konsep infaq dan tajaan boleh dijadikan program contoh bagi mana-mana pihak dan komuniti di negara ini pada masa hadapan.

Ketua Pegawai Operasi I-Madina Malaysia, Sharniza Mahat berkata, berbeza dengan majlis kenduri kahwin yang dianjurkan jabatan agama atau pihak berwajib lain untuk membantu golo­ngan tidak berkemam­puan, gagasan itu membuka ­ruang dan peluang untuk tajaan serta infaq oleh komuniti untuk membantu mereka yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Kami telah membuka pendaftaran kepada bakal pengantin baharu di seluruh negara. Kami membuat pelbagai penilaian dan pemilihan untuk memenuhi kri­tera yang ditetapkan.

“Kami mahu memudahkan urusan keluarga dan pasangan pengantin ini menganjurkan maj­lis kenduri kahwin. Ini kerana jika tanpa bantuan, mungkin majlis kenduri mereka tertangguh sehingga tabungan mencukupi ekoran pelbagai kos yang terus meningkat.

“Pemilihan dibuat dalam tempoh tiga bulan. Antara syaratnya adalah pasangan pengantin itu sudah menjalani kursus perkahwinan dan ini adalah perkahwinan pertama dan kurang berkemampuan dari aspek pendapatan bulanan termasuk ibu bapa pengantin,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sharniza yang juga salah seorang perunding gagasan tersebut menerangkan, selepas persetujuan dicapai, I-Madina bersetuju untuk menaja makanan dan minuman kepada kira-kira 500 tetamu, manakala bakinya akan ditanggung oleh pihak ke­luarga pengantin.

“Kami telah membuka ruang infaq kepada komuniti untuk menaja makanan dan minuman. Kami juga menaja khemah, pertunjukan silat dan kompang serta barangan kelengkapan memasak.

“Kami berjaya mengumpul dana daripada infaq sehingga RM10,000 dalam tempoh sehari sahaja.

“Ini menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan komuniti kita bersedia membantu untuk menjaya program ini atas dasar kasih sayang sesama kita,” ujar­nya.

Tambah beliau, dalam majlis ken­duri kahwin itu juga, I-Madina turut mempersembahkan sesi bersilat dan kompang kerana ia sudah lama tidak diketengahkan kepada masyarakat moden.

Selain itu, konsep gotong-royong ini dijayakan bersama oleh keluarga pengantin dan komuniti dalam I- Madina untuk ­menyediakan juadah kepada kira-kira 1,000 tetamu.

Turut mendapat sokongan adalah daripada ketua kampung, pengerusi surau dan pemimpin masyarakat di kampung ber­kenaan untuk memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Hasil permuafakatan tersebut, para tetamu majlis kenduri kahwin itu dihidangkan dengan beberapa lauk kampung yang menyelerakan seperti ayam masak merah, kobis masak lemak putih, asam pedas, sambal belacan, ikan masin serta juadah pemanis mulut.

Ditanya mengenai usaha I-Madina yang berjaya mendapat sokongan masyarakat untuk menjayakan sesebuah kerja amal, Sharniza berkata, gagasan tersebut memiliki 70 komuniti di seluruh negara.

Setiap aktiviti yang dianjurkan di sesebuah kawasan pastinya mendapat kerjasama dan soko­ngan yang baik daripada komuniti yang tinggal berdekatan.

“Kira-kira 60 orang membantu sejak sehari sebelum kenduri dan mereka datang dari Klang dan juga penduduk di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau yang berpuas hati de­ngan kelancaran majlis tersebut berharap ia boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada gagasan itu dan juga komuniti lain untuk menjayakan program Jom Kawen pada masa depan dengan konsep infaq.

Gagasan I-Madina ditubuhkan untuk membangunkan ke­seimbangan masyarakat melalui ekosistem komuniti, mewujudkan rangkaian sahabat komuniti yang berteraskan ketuhanan, kasih sayang dan kesejahteraan.

Terdapat enam teras yang menggerakkan gagasan sejak mula ditubuhkan pada pandemik iaitu Sahabat Cahaya, Sahabat Usahawan, Sahabat Kepemimpinan, Sahabat Infaq, Sahabat Cinta dan Sahabat Khidmat Kasih. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |